Friday, 28 June 2013

Turbin Bakun gagal bekalkan tenaga

Punca gangguan bekalan elektrik dikenal pasti 

Kuching: Gangguan bekalan elektrik kira-kira lima jam membabitkan hampir seluruh negeri ini kelmarin, disahkan berpunca daripada penurunan mendadak bekalan elektrik dari Stesen Janakuasa Hidro Bakun.
Kejadian bermula jam 5.36 petang apabila turbin jana kuasa gagal membekalkan tenaga hingga menyebabkan penurunan mendadak tenaga dari 884 megawat (mw) kepada 456mw.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Torstein Dale Sjotveit, berkata penurunan itu turut menyebabkan semua stesen jana kuasa utama lain di Sejingkat, Batang Ai, Mukah, Bintulu dan Miri terpelantik. 
Katanya, SEB segera menggerakkan usaha memulihkan bekalan dengan Stesen Hidroelektrik Batang Ai kembali beroperasi jam 5.53 petang, diikuti Sejingkat (5.56 petang), Bintulu (6.21 petang) dan Miri (7.45 malam). 

Hilang 456mw tenaga 

“Ketika kejadian, jumlah aliran tenaga pada tahap 1,555mw, namun dalam tempoh 10 saat, kita kehilangan 456mw tenaga menyebabkan tahap frekuensi normal pada paras 50 hertz (hz) menurun di bawah 47.5hz. 
“Bakun hanya dapat dipulihkan selepas jam 10 malam menyebabkan beberapa kawasan mengalami kelewatan pemulihan seperti di Sibu apabila sistem kembali dihubungkan jam 11.30 malam dan keseluruhannya pulih jam 2.07 pagi tadi (semalam),” katanya di Ibu Pejabat SEB, di sini semalam.

Stesen Janakusa Hidroelektrik Bakun mempunyai empat turbin utama beroperasi 24 jam, masing-masing berupaya menjana sehingga 300mw. Bagaimanapun atas aspek keselamatan, ia hanya dibenarkan beroperasi pada tahap pengeluaran antara 220 hingga 230mw. 

Sambil memohon maaf kepada pengguna termasuk komuniti perniagaan yang terjejas akibat kejadian kelmarin, Torstein berkata, siasatan rapi berhubung kejadian itu membabitkan wakil Kementerian Kemudahan Awam dan Sarawak Hidro akan dilakukan segera bagi mengelak perkara sama berulang. 

“Saya memberi jaminan sistem bekalan sedia ada adalah stabil di seluruh negeri ini. Pegawai dan jurutera kami sudah berada di Bakun untuk memulakan siasatan, mencari punca penurunan bekalan tenaga dan kita harap ia dapat diketahui dalam tempoh dua minggu,” katanya.

No comments:

Post a Comment