Saturday, 29 June 2013

Bapa jadi pendorong kecemerlangan Amira Nabila



JASIN 29 Jun - Anak seorang pensyarah, Amira Nabila Raduwan, 22, dinobat sebagai penerima Anugerah Pengarah Politeknik atas kecemerlangannya dalam akademik dan ko-kurikulum pada Majlis Konvokesyen ke-12 Politeknik Merlimau di sini hari ini.

Graduan Diploma Senibina yang berasal dari Klang, Selangor itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.68 dan berjaya memperoleh Anugerah Ketua Jabatan pada setiap semester sepanjang pengajiannya di politeknik itu.

Menurutnya, sikap sukakan cabaran serta tidak kenal erti putus asa dengan menjadikan ayahnya, Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Dr. Raduwan Idar, 56, sebagai pendorong untuknya menempa kejayaan.

"Syukur dengan anugerah yang diterima, dalam ramai-ramai pelajar, tak sangka saya yang terpilih, memang tak dapat diungkap perasaan yang saya rasakan ketika ini.

"Memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas, duduk dibahagian depan ketika belajar selain niat belajar kerana Allah adalah petua kejayaan yang boleh saya kongsikan.

"Kejayaan ini juga saya hadiahkan kepada ibu, Norhazian Yusof, 56, yang menyambut hari lahir semalam dan juga ayah saya yang turut meraikan hari lahirnya pada 22 Jun lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.

Pada majlis konvokesyen yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob itu, seramai 1,054 graduan menerima diploma masing-masing menjadikan angka keseluruhan graduan yang dilahirkan oleh politeknik itu sejak 11 tahun lalu seramai 13,232 orang.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. Terima kasih encik atas laporan yg dibuat. Syukur ke hadrat tuhan sy diberi peluang merasai utk terima anugerah ini . Alhamdulillah.

    ReplyDelete