KUALA LUMPUR 18 Jun - Tindakan sesetengah majikan tidak mengizinkan pekerja wanita memakai tudung sekali gus menghalang individu terbabit melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam adalah haram di sisi agama.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara tersebut secara tidak langsung melanggar Perlembagaan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama negara.
"Pihak majikan sesebuah syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan syarat tersendiri kerana peruntukan kedudukan Islam dan agama lain sudah jelas.
"Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan negara tidak boleh dipinda dan oleh itu semua pihak harus akur dan menerima hakikat seterusnya tidak menimbulkan isu seperti ini," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas aduan seorang pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia yang disiarkan hari ini bahawa anak saudaranya hanya akan diterima bekerja di salah sebuah hospital di Kuantan sekiranya bersetuju membuka tudung.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad berkata, menghalang seseorang daripada memakai tudung adalah tidak wajar kerana perkara tersebut merupakan kewajipan seseorang individu yang beragama Islam.
"Melakukan kerja di hospital terutamanya memerlukan mereka memakai tutup kepala sebagai langkah menjaga kesihatan, justeru pemakaian tudung tidak menjadi masalah.
"Saya berharap pihak berkaitan memandang serius akan isu ini dan mengambil tindakan supaya tidak berlakunya diskriminasi terhadap wanita Islam bertudung di Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment