Sunday 23 June 2013

Garis panduan tindakan hadapi darurat bencana jerebu dikeluar Majlis Keselamatan Negara



Apabila Darurat Bencana Jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri dan Daerah hendaklah mengambil tindakan seperti berikut:

A) Menasihatkan penutupan pejabat atau premis kerajaan atau swasta dan tempat bekerja lain, termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan, kuari serta kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah. Langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diambil pada setiap masa. 


Bagaimanapun nasihat penutupan itu dikecualikan bagi perkhidmatan:
- Air dan elektrik 
- Kesihatan awam
- Bomba dan Penjara
- Pos, telefon, telekomunikasi dan telegraf
- Komunikasi radio, penyiaran dan televisyen
- Pelabuhan, termasuk limbungan, dermaga dan perkhidmatan yang ada kaitan
- Pengangkutan darat, laut dan udara
- Membekal bahan pembakar dan minyak pelincir - Perbankan dan kewangan
- Semua yang terbabit secara langsung dalam pengurusan bencana jerebu di bawah Arahan MKN No 20 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.



B) Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan melaksanakan penutupan sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Darurat Bencana Jerebu

C) Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan mempertingkatkan penyiaran maklumat kesedaran mengenai jerebu secara berterusan untuk panduan orang awam

D) JAS; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan atau agensi berkaitan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap sumber yang boleh menyumbang kemerosotan kualiti udara



E) Jabatan Bomba dan Penyelamat mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut dan pembakaran terbuka dengan kerjasama agensi lain

F) Kementerian Kesihatan mempertingkatkan pemantauan dan rawatan kesihatan disebabkan jerebu di hospital dan klinik kesihatan

G) Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia melaksanakan aktiviti pembenihan awan dalam keadaan cuaca yang membolehkan kejayaan operasi bagi mengurangkan jerebu

H) Semua kementerian, jabatan atau agensi berkaitan menangguhkan aktiviti luar atau riadah membabitkan masyarakat.

No comments:

Post a Comment