Google+ Followers

Monday, 17 June 2013

Gerakan buru Halimah dipergiat


Yazid Sufaat. Pic: tranungkite.net

KUALA LUMPUR 17 Jun - Polis bertindak menyerbu tujuh lokasi secara serentak di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor awal pagi ini bagi mengesan seorang suri rumah, Halimah Hussein yang disyaki menganggotai kumpulan pengganas Tanzim Al- Qaeda Malaysia.


Serbuan itu bagaimanapun gagal menemukan Halimah, 52, yang menghilangkan diri setelah dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Mei lalu.

Wanita terbabit sebelum ini pernah ditahan dan didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim.

Mahkamah Rayuan Putrajaya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Halimah kerana gagal menghadirkan diri bagi mendengar kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur untuk melepaskan dan membebaskannya pada 20 Mei lalu dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan di bawah Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan.

Foto : IST

Pengarah Jabatan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, dua individu yang dilepaskan dan dibebaskan bersama Halimah iaitu Yazid, 49, dan Muhammad Hilmi, 33, telah ditangkap semula pada 27 Mei lalu dan dituduh di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan pengganas.

"Halimah juga dikehendaki ditangkap semula atas kesalahan sama namun dia masih menghilangkan diri sehingga kini.

"Sehubungan itu, sepasukan polis dari Jabatan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) menyerbu tujuh lokasi serentak yang disyaki menjadi tempat persembunyian Halimah awal pagi ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, lokasi diserbu adalah empat di Selangor iaitu Gombak, Kajang dan Ampang serta masing-masing satu di Pandan Indah, Kuala Lumpur dan Masai, Johor Bharu di Johor.

Beliau berkata, kesemua lokasi yang diserbu itu merupakan kediaman ahli keluarga kepada wanita berkenaan tetapi gagal menemukan Halimah, malah anggota keluarga mendakwa sudah lama tidak bertemu suspek memandangkan hubungan mereka yang tidak rapat.

Menurutnya, polis bagaimanapun percaya Halimah masih bersembunyi di negara ini dan merayu orang ramai mempunyai maklumat mengenai wanita itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hasimah Ismail di talian 03-22667026 bagi membantu siasatan dan mengesan suspek.

"Saya juga ingin mengingatkan orang awam bahawa sesiapa yang memberi perlindungan kepada Halimah adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 130K Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun atau dengan denda atau penjara seumur hidup.

"Manakala sesiapa yang sengaja tidak memberi maklumat mengenai Halimah adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Halimah merupakan seorang janda tanpa anak dan memiliki ijazah dalam Jurusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditahan bersama Yazid dan Muhammad Hilmi pada Februari lalu, kerana dipercayai terlibat merekrut rakyat tempatan dalam kegiatan militan sebelum dihantar ke luar negara bagi menjalankan misi keganasan.

Wanita itu asalnya merupakan seorang kerani namun melanjutkan pengajiannya sehingga memiliki ijazah.


Di Mahkamah Tinggi sebelum ini, Yazid didakwa menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu manakala Muhammad Hilmi dan Halimah didakwa bersubahat dengan Yazid.

Ketiga-tiga mereka juga disyaki ahli kumpulan sama dengan dua rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda masih ditahan di Beirut, Lebanon iaitu Razif Mohd. Arif, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa, 21.

Mohamad Fuzi berkata, Razif dan Muhamad Razin yang ditangkap oleh pihak berkuasa Lebanon pada 18 Oktober tahun lalu di sebuah hotel di Beirut kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas akan dihadapkan untuk pertuduhan di mahkamah pada 8 November ini.