Wednesday, 19 June 2013

Majikan perlu sensitif - MNA


KUANTAN 19 Jun - Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) menyeru wanita yang mendakwa sebuah hospital di sini hanya akan menawarkan kerja kepadanya jika sanggup membuka tudung supaya membuat aduan kepada pihak itu.

Presiden MNA, Ramziah Ahmad berkata, aduan rasmi perlu dibuat kerana tindakan pengurusan hospital berkenaan adalah tidak wajar berikutan membabitkan sensitiviti agama.
"Saya rasa perkara ini sangat sensitif dan tidak patut berlaku kerana bertudung adalah kewajipan seseorang wanita yang beragama Islam.

"Sedangkan di dalam uniform jururawat sekali pun, mereka perlu menutup kepala sama ada memakai skaf atau tudung dan hampir 95 peratus jururawat di seluruh negara memakai tudung," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas aduan seorang pembaca yang disiarkan semalam bahawa anak saudaranya hanya akan diterima bekerja di salah sebuah hospital di Kuantan sekiranya bersetuju membuka tudung.

Menurut Ramziah, setiap majikan seharusnya lebih sensitif dan menghormati kepercayaan serta pegangan masing-masing agar masyarakat negara ini yang berbilang kaum dan agama dapat hidup dengan bersatu padu.



"Seharusnya setiap daripada kita menghormati dan lebih sensitif mengenai pegangan dan kepercayaan masing-masing termasuk dalam isu bertudung ini.

"Kelayakan untuk menjadi seorang jururawat ialah seseorang itu harus kompeten, berkemahiran, imej bersopan dan kelulusan yang dititikberatkan sebagai salah satu syarat, bukannya isu bertudung atau tidak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment