Wednesday 26 June 2013

Hujan rahmat!

Putrajaya: Hujan lebat serta angin kencang di pusat pentadbiran kerajaan di sini, semalam membawa seribu rahmat kepada penduduk selepas hampir sebulan tiada hujan.
Malah, hujan lebih sejam bermula kira-kira jam 6.15 petang itu turut mengurangkan kesan jerebu yang melanda wilayah itu sejak beberapa hari lalu.

Selain itu, beberapa kawasan di Sepang turut hujan sekali gus memberi berita gembira kepada penduduk yang berharap masalah jerebu dapat diatasi segera.
Di Shah Alam pula, selepas dua minggu menghadapi fenomena jerebu serius, penduduk di beberapa kawasan sekitar Selangor mula menarik nafas lega apabila negeri itu dilanda hujan lebat selama kira-kira 40 minit bermula jam 4.45 petang, semalam. Antara kawasan itu ialah Bangi, Petaling Jaya, Shah Alam, Semenyih, Kajang, Subang Jaya dan Damansara manakala Sabak Bernam, Pelabuhan Klang dan Klang hanya gerimis.

Berikutan keadaan itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan terbabit mencatatkan penurunan selepas 16 hari negeri itu tidak mengalami hujan selain diselubungi debu, cuaca panas dan kering. Bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 5 petang menunjukkan penurunan di semua kawasan iaitu Banting pada paras 197 mata berbanding 266 mata pada jam 11 pagi, Kuala Selangor turun kepada 192 mata pada jam 5 petang berbanding bacaan kedua pada paras 229 mata; Petaling Jaya kepada 181 mata daripada 199 mata dan Shah Alam kepada 252 mata berbanding 291 mata.

Bagaimanapun, Pelabuhan Klang masih lagi dalam keadaan berbahaya, namun mencatatkan penurunan daripada 484 mata pada jam 11 pagi kepada 464 mata pada bacaan ketiga petang semalam.
Difahamkan, tiada pembenihan awan dilakukan sebelum hujan semalam.

Credit: Hayati Ibrahim, Nurul Fhatihah Zakinan dan Syafawani Salleh

No comments:

Post a Comment