Wednesday 19 June 2013

EMPAT KAWASAN DI JOHOR CATAT IPU TIDAK SIHAT

JOHOR BAHRU - Kualiti udara di empat kawasan di negeri ini berada pada tahap tidak sihat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 150 setakat pukul 5 petang hari ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan tersebut ialah di Muar yang mencatat IPU tertinggi iaitu 172, diikuti Pasir Gudang (168), Kota Tinggi (166) dan Larkin Lama (152).
Sementara itu, status kualiti udara di negeri lain iaitu Bandaraya Melaka (161) dan Banting (114) turut mencatatkan IPU tidak sihat.
IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).
Dalam pada itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. berkata, meskipun negeri ini dilanda jerebu namun masih ada pihak yang masih tidak bertanggungjawab apabila melakukan pembakaran secara terbuka.
Terbaru, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporatnya, Shahrul Amir Abdul Rahim berkata, pihaknya mengesan kawasan tanah lapang di belakang sebuah stesen minyak di Taman Bukit Indah di sini telah dijadikan lokasi melonggokkan sisa kebun sebelum membakarnya.
“Berikutan masalah jerebu dan cuaca panas, SWM ingin menasihatkan supaya orang ramai tidak membuat pembakaran terbuka terutamanya pembakaran sisa kebun.
“Ini akan memburukkan lagi keadaan dan mengundang masalah gangguan kesihatan terutamanya masalah kesesakan nafas dan kepedihan mata,” katanya.
Ujar Shahrul Amir, penduduk yang ingin melupuskan sisa kebun di dalam kawasan taman taman perumahan perlulah membungkus sisa kebun seperti daun daun kering, cantasan dahan kecil dan rumput ke dalam beg plastik mudah urai.
Kepada orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat pelupusan sampah pukal, boleh hubungi pihak SWM di talian hotline 1-800-88-7472.

No comments:

Post a Comment