Tuesday, 18 June 2013

Sindiket parcel tumpas, 4 rakyat Afrika ditahan

SUBANG JAYA 18 Jun - Polis menumpaskan satu sindiket jenayah penipuan penghantaran barang (parcel) selepas menahan empat rakyat Afrika dalam operasi bersepadu di sebuah pasar raya di USJ 19 di sini baru-baru ini.

Suspek warga Nigeria termasuk seorang wanita itu mulanya ditahan atas kesalahan narkotik selepas polis menyerbu tempat tinggal mereka di sebuah kondominium di Persiaran Kewajipan, USJ 19 namun polis kemudian menemukan pelbagai peralatan yang digunakan untuk sindiket parcel.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan polis mendapati sekurang-kurangnya seorang penduduk tempatan menjadi mangsa penipuan sindiket ini dan kerugian hampir RM20,00.

"Modus operandi mereka adalah menghantar e-mel kepada mangsa dengan memberitahu akan menghadiahkan satu bungkusan yang mengandungi wang tunai kira-kira USD6.3 juta (RM19.8 juta).

"Bagaimanapun wang itu hanya boleh diterima mangsa jika dia menyerahkan sekurang-kurangnya RM20,000 sebagai bayaran pelepasan kastam.

"Malah sebagai jaminan untuk mempengaruhi mangsa, sindiket tersebut akan mengupah warga Filipina untuk bertemu dengan mangsa dalam sebuah bilik hotel untuk menunjukkan wang tunai itu. Namun wang itu sebenarnya adalah kertas-kertas yang digunting menyerupai nilai sebenar," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, keempat-empat suspek berusia lingkungan 20-an itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta berdekatan.
"Hasil serbuan di kondominium berkenaan, polis turut merampas dua unit komputer riba dan tujuh telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk melakukan penipuan itu," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan sehingga 27 Jun ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Credit:  ILAH HAFIZ AZIZ dan AFZAN SULAIMAN




















No comments:

Post a Comment