Thursday 20 June 2013

JEREBU CAPAI TAHAP BAHAYA

  • Foto
    Murid SK Parit Jawa, Muar pulang berikutan sekolah ditutup.
Tutup sekolah IPU lebih 300

Nusajaya: Semua 491 sekolah di Muar, Ledang, Batu Pahat dan Pasir Gudang membabitkan 273,433 pelajar ditutup serta-merta selama dua hari mulai semalam akibat jerebu yang mencapai tahap berbahaya.

Arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Johor selepas menerima surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menutup semua sekolah di daerah berkenaan berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 300, iaitu tahap berbahaya. 


Bacaan IPU di Muar mencatatkan 337 pada jam 7 pagi sebelum meningkat kepada IPU 383 mulai jam 11 pagi, manakala di Pasir Gudang meningkat sehingga 333 pada jam 5 petang. 


Langkah keselamatan

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Nor A Ghani, berkata penutupan semua sekolah rendah dan menengah itu perlu sebagai langkah keselamatan apabila jerebu semakin teruk.

“Murid sesi pagi yang datang diminta pulang, manakala murid sesi petang diminta tidak hadir,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal Ke-13, di Kota Iskandar di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Azuri Azizah Saedon. 
Mohd Nor berkata, sekolah di daerah lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat IPU 101-200, diminta mengambil langkah berjaga-jaga selain mengehadkan aktiviti di luar bilik darjah.

Sementara itu, tinjauan sekitar Muar mendapati notis pemberitahuan PPD dipamerkan di pintu masuk menyatakan sekolah ditutup bermula esok.


Henti aktiviti kokurikulum 

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Jawa, Nora Abdullah, berkata sejak Isnin lalu PPD sudah menghantar pekeliling bagi memaklumkan keadaan jerebu terkini dan langkah keselamatan yang perlu diambil.


Foto

Katanya, pagi semalam pihaknya menerima notis terbaru supaya menutup sepenuhnya sekolah sehingga diberitahu berikutan jerebu yang semakin teruk.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud pula mengarahkan semua aktiviti kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah dihentikan jika IPU melebihi 150 bagi murid berisiko dan 250 untuk semua murid.

“Kita juga sudah mengarahkan pentadbiran menutup semua sekolah yang berada dalam kawasan mempunyai IPU melebihi 300,” katanya.

Sementara itu, kementerian membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan bagi memudahkan langkah sewajarnya.

No comments:

Post a Comment