Friday, 28 June 2013

Tak hargai khazanah alam punca jerebu

Allah SWT bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan antara kurniaan nikmat tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Kesihatan membolehkan manusia menjalani kehidupan aman sentosa dan lancar melakukan kerja harian.

Kesihatan juga membolehkan kita melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna. Menyedari tingginya nilai kesihatan, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menjaganya kerana kesihatan manusia berkait rapat dengan keharmonian alam serta kehidupan.


Sabda Rasulullah SAW: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari) 

Justeru, agama Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh merosakkan kesihatan termasuklah kerosakan alam sekitar. Umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. 

Maka apa saja kehidupan di alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka jika dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Larangan lakukan kemusnahan alam

Bagi memastikan hubungan baik dengan Allah terpelihara, menjadi tanggungjawab manusia memelihara dan memperkasa hubungan yang baik sesama manusia dan makhluk Allah. Islam melarang umatnya melakukan kemusnahan alam kerana perbuatan ini akan memberi kesan sampingan kepada keharmonian hidup manusia. 
Kesejahteraan hidup yang baik, sihat, ceria dan maju adalah nikmat tidak terhingga indahnya. Allah akan memberi ganjaran tinggi kepada hambanya yang sentiasa mensyukuri nikmat ini. Allah SWT menyatakan sifat kufur nikmat akan dibalas dengan azab seksa yang amat pedih. 

Firman Allah SWT: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7) 

Amalan bersyukur juga hendaklah dijelmakan dan direalisasikan dalam kehidupan seharian. Dinasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada kesilapan manusia di masa lalu yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini, sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan.

Malapetaka hasil kerakusan manusia

Kita mengakui bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga keseimbangan mula terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Walaupun sememangnya alam ini perlu terus dibangunkan, keselesaan hidup perlu ditingkatkan, teknologi perlu selaras keperluan manusia, namun apabila keseimbangan alam tidak dikekalkan, kita sebenarnya mengundang malapetaka hasil perbuatan sendiri. 

Hari ini kebanyakan kawasan di negara kita dilanda jerebu. Pada dasarnya jerebu adalah ujian Allah SWT yang disebabkan oleh zarah terampai dalam atmosfera pada kepekatan tinggi sehingga menyebabkan daya penglihatan berkurangan. 

Penyebab berlakunya jerebu ialah aktiviti manusia yang mengetepikan sunnah alam antaranya pembakaran terbuka, pembukaan tanah, penggunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api industri. 

Yakinlah bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran peranan dan tanggungjawab semua pihak mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilaksanakan. 

Udara yang bersih menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara tercemar sudah pasti akan mengancam kesihatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kualiti udara di negara kita.

Ingatlah, perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau kehidupan lain, sudah pasti mendedahkan kita kepada kemurkaan Allah SWT. Sebarang usaha menghindarkan kerosakan dan kemudaratan sebagai tanda wujudnya kesempurnaan iman. 

Marilah berdoa kepada Allah SWT semoga jerebu akan berkurangan dan menunaikan solat sunat Istisqa secara berterusan dengan memohon rahmat Allah SWT menurunkan hujan hingga cuaca pulih seperti sedia kala.

No comments:

Post a Comment