Tuesday, 25 June 2013

Rezeki berkat penentu kebahagiaan hidup di dunia, akhirat

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah SWT kepadanya. Maka takutlah kepada Allah SWT dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah SWT tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan cara ketaatan.” (Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani).


Islam titik berat pencarian rezeki 


Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak berada dalam perut ibunya lagi. Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa saja. 


Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelanjaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar perbuatan itu adalah terkutuk tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya. 

Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap Mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa, tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa serta bertawakal kepada Allah. Rahmat Allah SWT sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya. 

Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah ujian daripada Allah SWT namun, perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) banyak tetapi melalaikan. 


Keberkatan rezeki 
Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. 

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya apabila orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang Mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.” (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment