Tuesday, 25 June 2013

Umat Islam jangan remehkan tawakal


KITA sering kali mendengar perkataan tawakal. Terutama ketika mengharapkan sesuatu perkara atau keputusan. Perkataan ini berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud bergantung harap atau berwakil.
Islam mendidik umat-Nya dengan konsep tawakal setelah berusaha untuk mencapai sesuatu perkara. Adalah tidak tepat jika seseorang itu hanya bertawakal kepada Allah SWT tanpa berusaha ke arah sesuatu yang diingininya.

Firman Allah SWT: Kemudian apabila kamu telah berazam (bersetuju sesudah bermesyuarat untuk sesuatu urusan), maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal. (Ali Imran: 159)

Umat Islam dituntut untuk bertawakal hanya kepada Allah SWT. Hanya Dia yang maha berkuasa dan kekal selamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bertawakallah engkau kepada Allah, Tuhan yang Maha Hidup (Kekal) yang tidak mati dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. (al-Furqan: 58).

Tidak dibenarkan bergantung harap kepada tuah, nasib, makhluk ghaib dan sebagainya. Hanya Allah SWT sahajalah sebaik-baik tempat untuk kita bergantung sepenuhnya tanpa keraguan sebagaimana firman-Nya: Dan hanya kepada Allah sahajalah orang mukmin itu bertawakal. (Ali Imran: 122)


Perkara remeh

Tawakal kepada Allah bukanlah suatu perkara yang remeh. Ramai yang menyangka bahawa ini merupakan perkara yang tidak penting dan tidak membuahkan apa-apa hasil.

Sebahagian daripada kita merasakan hanya dengan usaha keras semata-mata kejayaan itu akan dicapai.

Hakikatnya, tawakal adalah pintu yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT.

Dengan bertawakallah seseorang itu akan sentiasa mengharapkan rahmat, kasih-sayang dan pertolongan Tuhannya. Kerana itu, tawakal adalah tanda seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah sebagaimana firman-Nya: Sesungguhnya orang mukmin itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhan merekalah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)

Orang yang berusaha kemudian bertawakal kepada Allah akan dipermudahkan urusan kehidupannya lalu dicukupkan segala keperluan hidupnya sebagaimana janji Allah SWT: Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkannya (keperluannya). (Al-Talaq: 3)


Doa khusus

Terdapat doa yang khusus berkaitan tawakal di dalam al-Quran antaranya dalam surah Ali Imran ayat 173 yang berbunyi: Hasbunallahu wa ni'mal wakil bermaksud cukuplah Allah untuk menolong kami dan Allah adalah sebaik-baik wakil, tempat untuk bertawakal.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, hanya kepada Engkaulah aku berserah diri, beriman, bertawakal, bertaubat dan mengadu). (riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah menceritakan kepada para sahabat bahawa di akhirat kelak terdapat seramai 70,000 umatnya yang akan masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diseksa.

Para sahabat lalu berselisih pendapat mengenainya sehinggalah akhirnya Rasulullah menceritakan siapakah yang termasuk dalam golongan yang akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab tersebut.

Baginda bersabda: Mereka ialah orang yang tidak pernah menjampi (dengan jampi yang diharamkan syarak), tidak minta dijampi, tidak menilik nasib dan selalu bertawakal hanya kepada Allah SWT. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Mas'ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Thiyarah (menyangka sesuatu buruk yang akan terjadi) ialah syirik dan hal itu hanyalah prasangka kita sahaja. Akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal. (riwayat Al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)




Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR (UNISZA)

No comments:

Post a Comment