KUALA LUMPUR – Empat lelaki menceroboh kediaman Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Jalan Setiabestari, Bukit Damansara di sini kelmarin dan melarikan beberapa unit komputer riba dan jam tangan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, semasa kejadian pada pukul 5.30 petang itu hanya pembantu rumah menteri itu berada di rumah tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan itu dikatakan tiada di rumah semasa kejadian kerana menyaksikan final Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Menurut beliau, suspek-suspek yang dikatakan menaiki sebuah kereta Proton Waja itu masuk ke rumah orang kenamaan itu dengan memanjat tembok pagar di tepi rumah dan masuk menerusi pintu kayu depan yang tidak berkunci.
“Semasa itu pembantu rumah menteri itu berada di dapur dan menyedari kejadian itu semasa keluar ke ruang tamu sebelum terkejut melihat pintu depan terbuka.
“Selepas itu pembantu rumah terbabit melihat empat suspek sedang menyelongkar bilik tidur utama majikannya,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
No comments:
Post a Comment