Monday, 17 June 2013

KERANA MULUT.....



Bibir yang melengkapkan keseluruhan struktur mulut adalah satu senjata tajam yang dimiliki manusia. Namun perlu kita ingat yang senjata tajam ini juga mampu menjatuhkan si pemiliknya sendiri jika salah percaturan.
Lantas, peringatan yang acap kali dikatakan, kita perlulah menjaga senjata ini dengan baik agar tidak memakan diri atau memudaratkan kepada perkara lain hingga meninggalkan impak tidak baik. 
Kiranya, ada orang yang menggunakan mulutnya dengan baik untuk bersuara sesuatu yang positif dan selebihnya hampir majoriti hari ini, individu yang lebih menjurus kepada aspek negatif seperti mengata, mengutuk, menjatuhkan hukum dan mengumpat menggunakan mulut sendiri. 

Realitinya yang jarang sekali diberi perhatian adalah bagaimana proses mulut itu bersuara. Bibir mengukir kata selepas fikirkan didorong untuk melakukannya. Justeru, pangkal kepada segala cerita adalah otak sendiri.
Hubungan manusiawi ini dapat mengungkap corak pemikiran seseorang itu sama ada mereka duduk dalam kelompok manusia yang positif pemikirannya dan sentiasa melihat dengan kasih sayang atau di satu sisi lain, manusia yang tanpa sedar hanya sering berfikiran negatif dan lebih menyedihkan, kebanyakan pandangan mereka cenderung kepada kebencian.
Ramai yang kurang menghalusi perkara ini. Ramai merasakan mereka berfikiran positif tetapi hakikatnya mereka sentiasa berada dalam corak negatif. Mereka tidak menyedari kebanyakan pandangan mereka adalah pandangan yang menjurus kepada kebencian. 
Walaupun menyatakan mereka positif tetapi kata-kata yang keluar daripada mulut jelas mencerminkan kegusaran jiwa mereka. Mengapa dan punca terjadinya senario ini hanya si empunya mulut mampu memberi jawapan. 

Bagaimanapun, mengikut penelitian, hampir 100 peratus daripada mereka akan menafikan perkara itu kerana isu salah menggunakan mulut adalah sesuatu yang terlalu peribadi untuk diakui. 

Mari sama-sama kita renungkan diri sendiri. Seandainya kita melihat sesuatu perkara yang negatif, apakah yang bakal kita lakukan? Andai kita melihat sekumpulan mat rempit sedang merokok menunggang motosikal dalam keadaan yang membahayakan. 

Apakah perkataan yang pertama keluar daripada mulut kita? Adakah kita berkata: “Kalau jatuh nanti baru dia rasa.” Adakah kita melihat keadaan itu dengan penuh kebencian? Adakah kita mengharap kejadian yang buruk berlaku ke atas mereka?

Cuba perhatikan contoh situasi lain pula. Jika kita membaca satu kisah artis yang menjelekkan di majalah mahupun mendengar orang sedang memperkatakannya, adakah kita terus juga menyokong elemen negatif itu? Adakah anda turut mengutuk?

Jika jawapannya adalah ya, maka seseorang itu adalah orang yang cenderung berfikiran negatif biarpun mereka menafikannya. Ini kerana apa yang pertama terpacul di mulut mereka adalah negatif.


Mulut akan mengeluarkan perkataan awal daripada fikiran dan seandainya perkataan itu negatif maka itu melambangkan corak pemikiran seseorang.

Bagi yang berfikiran positif pula, mereka akan sentiasa cenderung mengatakan hal yang positif dulu. Mereka akan mendoakan orang yang melakukan kesalahan agar kembali ke pangkal jalan. Mereka tidak mengata tetapi mereka mendoakan.

Mereka berasa sedih dengan keburukan yang dilihat. Mereka sentiasa inginkan manusia menjadi hamba Allah yang sentiasa taat kepada-Nya. Apabila mereka melihat mat rempit berkeliaran, mereka mendoakan agar mereka ini diberi hidayah oleh Allah SWT. 


Apabila mereka mendengar orang membicarakan kejelekan, mereka tidak mencampurinya melainkan memohon kepada Allah SWT yang memegang hati-hati hamba-Nya agar pelaku itu ditunjukkan jalan kembali.

Kita perlu ingat bahawa setiap yang kita ucapkan itu satu doa. Ia bukan saja doa kepada pelaku kesalahan tapi juga adalah doa untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu sering mengucapkan hal-hal yang buruk mengenai orang lain, maka setiap ucapan itu akan tertanam dengan sendirinya dalam benak minda bawah sedarnya.

Apabila ucapan itu benar-benar kukuh, maka secara semula jadinya ia akan berubah menjadi sikap. Lalu jika dulu seseorang itu cukup gemar mengata orang, maka kini apa yang dikatakannya itu menjadi sikapnya pula. 

Cuba kita lihat sikap yang yang ada pada kita hari ini, berapa banyak hasil yang terhasil daripada apa yang kita ungkapkan dulu. Mereka ini tidak sedar akan perubahan sikap diri.

Justeru, mulai hari ini lakukanlah perubahan sikap yang suka mengata hal negatif kepada mendoakan perkara positif. Kita perlu ingat apabila sesuatu perkara yang dikatakan itu tidak benar, maka menjadi fitnah dan seandainya benar maka umpatan sudah dilakukan.

Kedua-duanya hanya bekalan ke neraka. Justeru, marilah kita bermohon kepada Allah SWT agar kita sentiasa tergolong dalam mereka yang gemar mendoakan kebaikan. Semoga kita dirahmati Allah SWT. Amin.


Bahana mulut celupar
Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 83, “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin. Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah solat serta berilah zakat”

Menurut Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar, ayat ini adalah perjanjian antara Tuhan dan Bani Israel di dalam kitab Taurat. Perjanjian ini kemudiannya diulang semula di dalam Al-Quran kepada umat Islam hari ini. Ayat ini mengandungi perintah agar manusia menjaga lidah dengan berkata perkara yang baik-baik saja.

Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Tidak ada istilah 'dia ini mulut saja yang jahat, tapi baik orangnya' di dalam Islam. Menurut sebuah riwayat, seorang sahabat datang kepada Rasulullah dan berkata, “Ada seorang wanita terkenal dengan banyak melakukan solat, berpuasa dan bersedekah, tapi dia sering mengganggu jirannya dengan lidah.” Rasulullah menjawab dengan ringkas, “Dia ahli neraka.” 

Di dunia, mulut celupar akan membuatkan kita hilang kawan. Orang akan menjauhi kita tanpa kita menyedari sebabnya. Mungkin ada yang tidak sedar, tapi hakikatnya, orang bermulut jahat walaupun hatinya baik sukar didekati dan lama-kelamaan kawan mula hilang dan menjauhkan diri.
Credit: Murshid Eunos

No comments:

Post a Comment