Thursday, 27 June 2013

MARI SANTUNI KELUARGA

MEMPERLAKUKAN isteri dengan baik merupakan perkara yang dianjurkan oleh syariat. Seorang suami wajib memperlakukan isterinya dengan baik serta banyak bersabar dan berlapang dada dalam menghadapinya. Apa lagi jika usia si isteri masih belia.

Hal itu berdasarkan sebuah hadis riwayat Aisyah berkata: "Demi Allah, saya melihat Rasulullah SAW berdiri di depan pintu kamarku sementara orang-orang Habsyah bermain-main tombak di masjid. Rasulullah menyitariku dengan selendangnya agar aku dapat menyaksikan permainan mereka dari balik telinga dan leher pundak baginda. Baginda tidak beranjak sehingga aku puas dan beranjak dari situ. Baginda memperlakukanku sebagaimana seorang gadis muda belia yang masih senang permainan." (riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Ahmad)

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (riwayat at- Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada suatu ketika Aisyah ikut bersama Rasulullah SAW dalam sebuah lawatan. Aisyah berkata: "Pada waktu itu aku masih seorang gadis yang ramping. Baginda Rasulullah memerintahkan rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Mereka pun berangkat mendahului kami. Kemudian baginda berkata kepadaku: "Ke marilah! sekarang kita berlumba lari." Aku pun melayaninya dan ternyata aku dapat mengungguli baginda. Baginda SAW hanya diam saja atas keunggulanku tadi."

Aisyah juga berkata: "Hingga dalam kesempatan lain, ketika aku sudah agak gemuk, aku ikut bersama baginda dalam sebuah lawatan. Baginda memerintah rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Kemudian baginda menentangku berlumba kembali. Dan kali ini baginda pula dapat mengungguliku. Baginda tertawa seraya berkata: "Inilah penebus kekalahan yang lalu!" (riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Pada kesempatan yang lain, Aisyah berkata: "Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku: Aku tahu bila engkau senang padaku dan bila engkau marah padaku. Dari mana engkau mengetahuinya? tanya Aisyah."
Rasulullah menjawab: "Jika engkau senang padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Muhammad! Jika engkau marah padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Ibrahim!
"Benar, yang aku hindari hanyalah menyebut namamu. Aisyah membuat pengakuan." (riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)


Kesempurnaan iman

Antara bukti kesempurnaan iman adalah memberi nafkah kepada keluarga (anak dan isteri) dan tidak membiarkan mereka hingga terlantar tidak terurus. Hal itu merupakan kezaliman yang sangat besar.

Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah seseorang menuai dosa apabila ia menelantarkan orang-orang yang menjadi tanggungannya (keluarganya)." (riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Jika si suami seorang yang kikir terhadap anak dan isterinya, maka si isteri boleh mengambil harta suaminya tanpa pengetahuannya, dengan syarat harus digunakan secara baik, bukan untuk menghambur-hamburkannya sebab hal itu adalah kezaliman.

Sayidatinna Aisyah meriwayatkan : "Hindun Ummu Mu'awiyah mengadu kepada Rasulullah SAW: Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang suami yang kikir. Apakah saya boleh mengambil hartanya tanpa pengetahuannya? Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah daripada hartanya untuk memenuhi keperluanmu dan keperluan anak-anakmu dengan cara yang makruf." (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasai, Ibnu Majah)

Beberapa orang yang tidak meneliti masalah ini dengan cermat berkata bahawa hadis ini bertentangan dengan sabda nabi yang bermaksud: Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahimu dan janganlah khianati orang yang mengkhianatimu. (riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, ad-Darimi, al-Bukhari)

Mengambil harta suami tanpa izinnya merupakan satu perbuatan khianat. Hal itu telah dilarang berdasarkan nas al-Quran dan sunah. Tetapi apa yang dimaksud oleh Rasulullah SAW dalam hadis Hindun adalah tidak sebagaimana yang baginda maksud dalam hadis di atas.

Alim ulama telah menyebut barang siapa yang memiliki hak ditangan orang lain lalu ditahan oleh orang tersebut, maka ia boleh mengambil sesuatu daripada harta orang tersebut sebagai pengganti haknya yang ditahan.
Sebagaimana dimaklumi bahawa di rumah suami yang kikir tentunya tidak tersedia barang-barang berupa pakaian dan minuman) dan segala keperluan yang wajib disediakannya untuk anak dan isteri.

Rasulullah SAW telah memberi izin kepada Hindun untuk mengambil sekadar keperluannya dan anak-anaknya. Sementara hadis di atas (Tunaikanlah amanah…) maksudnya adalah tidak mengkhianati amanah setelah keperluannya dicukupi.

Adapun mengambil sekadar keperluan, hal itu memang diizinkan oleh syariat. Oleh sebab itu, hadis Hindun tersebut tidaklah termasuk perkara yang dilarang dalam hadis terdahulu.



Credit: Hashim Ahmad

No comments:

Post a Comment