KUALA LUMPUR - Selepas Muar dikesan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) bahaya pagi tadi, Pasir Gudang pula mencatat IPU bahaya setakat pukul 5 petang tadi.
  
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang mencatat bacaan IPU 333 pada 5 petang berbanding IPU 199 pukul 11 pagi tadi.
  
Bacaan IPU 0-50 adalah di tahap Baik), 51-100 (Sederhana), 101-200 (Tidak Sihat), 201-300 (Sangat Tidak Sihat) dan lebih 300 (Bahaya).
  
Kota Tinggi terus mengekalkan bacaan indeks udara yang sangat tidak sihat apabila mencatat IPU 291 pukul 5 petang tadi berbanding 232 pada 11 pagi, demikian menurut statistik IPU yang dikeluarkan JAS melalui laman sesawang www.doe.gov.my
  
Sementara itu, keadaan udara di Larkin Lama yang tidak sihat pagi tadi bertukar menjadi sangat tidak sihat petang ini apabila bacaan IPUnya meningkat daripada 181 kepada 219.

Dua lagi kawasan yang mencatat peningkatan IPU ialah bandaraya Melaka dan Bukit Rambai.
  
IPU yang dicatat bandaraya Melaka ialah 150 pada 5 petang berbanding 137 pada sebelah pagi sementara Bukit Rambai mencatat IPU 129 pada sebelah petang berbanding 119 pukul 11 pagi tadi.
  
Pada 11 pagi, Muar mencatat bacaan IPU pada tahap bahaya iaitu 383 dan ini menyebabkan 211 sekolah di daerah berkenaan diarah bercuti selama dua hari mulai hari ini.
  
Bagaimanapun, setakat 8 malam ini, bacaan IPU di Muar pada 5 petang belum dikemas kini oleh laman sesawang JAS.
   
Pencemaran udara di negara ini dipercayai berpunca daripada pembakaran hutan di negara jiran. - Bernama