Sunday, 23 June 2013

Makanan halal, bersih sucikan hati

Keperluan nutrisi perlu diambil secara sederhana elak kesan negatif

Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan serta amal ibadah umat Islam. 


Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci. 

Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika bersih makanan dipilih maka bersihlah hati.

Jika pilihan makanan terdiri daripada sumber yang kotor dan rosak, maka hati akan terbentuk sebaliknya. Maka dengan itu, Islam menggesa penganutnya memilih makanan yang baik, halal lagi suci. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168) 

Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi mentafsirkan halal sebagai sesuatu yang diharuskan yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syarak untuk melakukannya. Baik pula membawa maksud sesuatu yang bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak. 
Larangan makan daripada sumber haram

Oleh itu, makanan halal lagi baik adalah makanan yang bersih zatnya, suci perolehannya serta bebas daripada sebarang kemudaratan. Islam sangat melarang keras umatnya memilih makanan daripada sumber haram. 

Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa kepada kemudaratan yang nyata. 

Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka. 

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim) 

Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik dianugerahkan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah)

 

Kesan negatif jika makan berlebihan

Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kesan negatif.

Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti sebelum kenyang. 

Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad) 

Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.

Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya.

Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah dan mengabdikan diri kepada Allah.




Credit: Nur Abidah Kamarudin

No comments:

Post a Comment