Friday, 21 June 2013

Bilangan pesakit di empat daerah di Johor naik akibat jerebu

JOHOR BAHRU: Cuaca yang berjerebu di negeri ini memberi kesan kepada kesihatan orang ramai apabila bilangan individu yang mendapat rawatan pesakit luar di empat daerah meningkat. 

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Khairi Yaakub berkata rawatan radang pernafasan, batuk dan selsema meningkat sehingga 70 peratus pada minggu ini manakala penyakit asma mencatatkan peningkatan 20 peratus. 
"Peningkatan dicatatkan di empat pusat kesihatan iaitu di Muar, Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Larkin Lama," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Dr Khairi berkata bekalan ubatan ketika ini mencukupi untuk orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan. 

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak dan warga emas supaya mengurangkan aktiviti luar memandangkan mereka lebih berisiko mendapat penyakit berkaitan jerebu. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Johor, Amirrul Asyraf Ibrahim berkata penerbangan sulung pesawat Malindo Air dari Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, dibatalkan hari ini kerana masalah jerebu. 

Bagaimanapun, katanya kadar purata penginapan hotel di negeri itu mencatatkan sehingga 80 peratus dan belum ada pembatalan tempahan bilik hotel oleh pelancong. 
Malah, katanya kehadiran pelancong terutama rakyat Singapura juga menggalakkan memandangkan musim cuti sekolah di republik itu. 

Beliau berkata pusat-pusat peranginan di negeri ini juga masih beroperasi seperti biasa dan taman tema Legoland juga belum memberikan sebarang makluman sama ada mahu menghentikan operasi mereka sementara waktu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment