Wednesday, 26 June 2013

Menangis-Ibadah tersembunyi 1001 hikmah

Menangis dilihat sebagai perkara yang tidak disukai kerana ramai menganggap menangis boleh menjatuhkan air muka terutama jika yang menangis itu seorang lelaki. Namun, Islam melihat perbuatan menangis dari perspektif yang positif. 

Allah SWT lebih menyukai orang yang banyak menangis daripada banyak ketawa seperti dalam firman-Nya: Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak. (Surah at-Taubah, ayat 82).
Sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan makna tangisan dari perspektif Islam ialah: Dua mata yang tidak akan terkena api neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga di jalan Allah. 



Tiga mata tidak dibakar api neraka 


Sabda baginda lagi: Tiga mata yang tidak akan terbakar api neraka untuk selamanya, mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang berjaga di malam hari kerana membaca kitab Allah, dan mata berjaga-jaga membela agama Allah. 

Menangis adalah akhlak nabi dan kebiasaan solihin. Tidak dinafikan, nabi, rasul dan sahabat, sering menjadikan tangisan sebagai perhiasan dalam solat, doa serta zikir. Sudah tentu ia bukan sekadar tangisan kosong, melainkan tangisan yang membuktikan perhambaan dan takut kepada Maha Esa. 

Rasulullah SAW bersabda: Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata. 

Di samping itu, diriwayatkan dalam hadis: Barang siapa yang menangis kerana takutkan Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat. 


Menangis ibadah 


Menangis juga termasuk dalam ibadah apabila dilandaskan kepada al-Quran dan sunnah Nabi iaitu menangis semata-mata kerana takut kepada Allah. Mata yang menangis membanjiri wajah hingga membasahi tempat sujud akan menjadi saksi di akhirat nanti . 

Saad bin Abi Waqqaas berkata, beliau mendengar Rasulullah bersabda: Menangislah! Apabila kamu tidak mampu menangis maka berpura-puralah untuk menangis. (Riwayat Ibnu Majah) 

Dari segi perubatan pula, menangis boleh membunuh bakteria. Umat Islam tidak perlu menitiskan ubat mata, air mata sudah cukup berfungsi sebagai anti bakteria semula jadi. Air mata mengandungi cecair disebut lisozom yang dapat membunuh 90 hingga 95 peratus bakteria pada mata manusia. 

Menangis juga boleh membantu organ dalaman berfungsi dengan baik. Contohnya, menangis boleh meningkatkan kadar degupan jantung kerana degupan jantung akan meningkat ketika seseorang itu menangis. 

Keadaan ini dianggap sebagai latihan yang bermanfaat kepada rongga badan, urat-urat dada dan kedua-dua belah bahu. Selepas menangis, kadar degupan jantung akan kembali perlahan sehingga membolehkan seseorang itu berasa tenang. 

Universiti Temple di Amerika Syarikat membuat kajian terhadap 100 penghidap penyakit radang usus besar serta luka pada perut dan 100 orang yang sihat untuk mengetahui hubung kait antara menangis serta memendam perasaan. 

Mereka mendapat jawapan agak mengejutkan. Hampir semua pesakit radang usus besar serta luka dalam perut mengatakan menangis adalah tanda lemahnya peribadi. Oleh itu, mereka memilih untuk memendam rasa hati mereka. 

Manakala bagi yang tidak menghidap penyakit mengatakan menangis adalah sesuatu yang semula jadi dilakukan bagi tujuan dan pada waktu sesuai. 


Air mata keluarkan unsur beracun dari tubuh 


Cendekiawan Amerika, Arthur Frank berkata, oleh sebab air mata berfungsi mengeluarkan unsur beracun dari dalam tubuh, maka menahan air mata bererti tumbuhnya racun secara perlahan-lahan. 

Secara fitrahnya perempuan lebih cenderung untuk menangis berbanding lelaki. Justeru, secara umumnya jangka hayat perempuan lebih panjang berbanding usia lelaki kerana perempuan membebaskan banyak racun dalam tubuh mereka melalui tangisan. 

Selain itu, saintis dan pakar mata berpendapat air mata mengandungi sejumlah peratusan racun tertentu yang hanya dapat dikeluarkan daripada tubuh melalui tangisan. Keadaan ini menjadikan orang yang menangis bebas daripada racun-racun itu. 

Menangis juga boleh menenangkan perasaan dan mengurangkan tekanan. Apabila seseorang itu menangis, ia dapat mengurangkan tekanan. 

Air mata yang dihasilkan oleh tangisan kerana emosi mengandungi 24 peratus protein albumin berfungsi menormalkan sistem metabolisme tubuh jika dibandingkan air mata yang dihasilkan akibat gangguan mata. 

Air mata juga mengeluarkan hormon tekanan dalam tubuh yang juga membantu melawan penyakit disebabkan tekanan seperti tekanan darah tinggi. 

Sesungguhnya Islam agama yang sempurna sehinggakan menangis juga dilihat sebagai ibadah dan di sebalik tangisan itu tersembunyi 1001 hikmah.

No comments:

Post a Comment