Saturday, 22 June 2013

Singapura buru firma bertanggungjawab sebabkan jerebu

PELANCONG merakam gambar berhampiran tugu Merlion di Marina Bay, Singapura selepas keadaan jerebu di republik itu dilihat semakin pulih semalam.


SINGAPURA - Singapura semalam menyatakan akan menjejaki firma-firma dari negara itu yang dipercayai terlibat dalam kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia. Tindakan itu dibuat selepas kumpulan alam sekitar, Greenpeace mendakwa kebakaran di ladang kelapa sawit di Indonesia dimiliki oleh beberapa syarikat dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam berkata, pihaknya akan meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap firma tempatan yang bertanggungjawab ke atas kebakaran itu.
"Saya sudah meminta peguam negara untuk mempertimbangkan tindakan yang boleh dilakukan di Singapura jika syarikat-syarikat itu terbukti menyumbang kepada kebakaran," katanya dalam satu sidang akhbar.
Greenpeace dalam satu kenyataan semalam berkata, data titik panas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Pulau Sumatera, Indonesia dari 11 Jun hingga kelmarin mendedahkan beratus-ratus kebakaran di ladang kelapa sawit dimiliki oleh firma dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di republik yang memiliki 5.3 juta penduduk itu dilapor menurun kepada 73 pada petang semalam berbanding lebih 300 pada pagi hari yang sama. Singapura memberi amaran bahawa jerebu yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius ini mungkin berterusan selama beberapa minggu. - AFP


No comments:

Post a Comment