Saturday 22 June 2013

Perhilitan berjaya kesan laluan kumpulan gajah liar ceroboh Kampung Som



JERANTUT - Lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Pahang (Perhilitan) berjaya mengesan laluan kumpulan gajah liar yang menceroboh Kampung Som dekat sini semalam.
Mereka menemui laluan, najis dan kesan tapak kaki kumpulan haiwan itu menerusi gerakan mengesan serta menjejak yang dilakukan sejak empat hari lepas.
Ketua Unit Gajah Pusat Konversi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Lanchang Nasharuddin Othman, ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya bagaimanapun tidak menjumpai kumpulan haiwan itu yang dipercayai sudah lari ke hutan simpan Som.
"Najis, kesan tapak kaki dan denai itu adalah kesan laluan tiga atau empat hari lalu, tetapi tiada kesan baru dijumpai.
"Kebiasaannya, gajah akan lari ke habitat lama apabila dihalau atau bertembung manusia, dan jika kawasan habitatnya tidak diusik atau diceroboh, haiwan itu akan terus berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata anggota Perhilitan akan terus memantau dan berada di kawasan kampung itu dalam tempoh beberapa hari lagi bagi menjejak serta mengesan kumpulan haiwan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, bagi tujuan keselamatan, penduduk kampung dinasihat tidak menyergah atau mencederakan haiwan itu jika bertembung kerana tindakan sedemikian hanya boleh menyebabkan ia mengganas dan 'naik minyak'. - Bernama


No comments:

Post a Comment