Wednesday 19 June 2013

Jerebu tingkatkan jumlah kes jangkitan saluran pernafasan di Johor

JOHOR BAHRU: Keadaan berjerebu di empat kawasan di Johor berterusan hari ini dan menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan orang ramai, terutama mereka yang mengalami masalah pernafasan, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yakub. 

Beliau berkata, pihaknya mendapati jumlah kes jangkitan pada saluran pernafasan bahagian atas (URTI) meningkat 21 peratus berdasarkan jumlah kehadiran pesakit yang datang mendapatkan rawatan. 
"Kumpulan umur yang paling banyak terjejas ialah 13 hingga 59 tahun," katanya dalam jawapan kepada soalan yang dihantar Bernama melalui sistem pesanan ringkas di sini hari ini. 


Beliau berkata, setakat ini belum terdapat peningkatan jumlah kes asma dan konjunktivitis. 

Beliau menasihti orang ramai supaya mengelak daripada melakukan aktiviti di luar serta memakai topeng jika perlu keluar dari rumah serta minum air yang banyak. 

Penghidap asma perlu lebih berhati-hati, katanya. 

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah berkenaan, yang direkodkan pada pukul 11 pagi ini ialah 149 di Pasir Gudang, 124 di Larkin Lama, 138 di Kota Tinggi dan 157 di Muar. 

Bacaan IPU bagi setiap kawasan berkenaan pada pukul 5 petang pula ialah 168, 152, 166 dan 172. 

Bacaan IPU 101 hingga 200 dianggap tidak sihat. 

Jabatan itu juga mengumumkan larangan serta-merta terhadap pembakaran secara terbuka di Selangor, Melaka dan Johor hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. 

Pengumuman itu dibuat mengikut Seksyen 29AA (2) Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2001. 

Pengecualian bagaimanapun diberi bagi upacara keagamaan dan pengebumian, memasak barbeku dan beberapa kegiatan tertentu lain. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment