Saturday, 22 June 2013

Tiada lagi penangguhan gaji minimum

Setakat ini, kira-kira 400 majikan yang menggaji lebih enam pekerja membuat rayuan penangguhan pembayaran gaji minimum yang sepatutnya dilaksanakan mulai 1 Julai ini dan kerajaan sedang menimbang rayuan mereka. 
Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot anak Jaem, berkata beliau akan berjumpa majikan terbabit Selasa ini bagi mendapatkan maklumat masalah mereka untuk mematuhi skim baru berkenaan tetapi setakat ini kerajaan bersetuju menangguhkannya hingga 31 Disember depan. 


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Hari Pekerja 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini semalam. 

Penetapan gaji minimum bagi sektor swasta diumumkan Perdana Menteri pada 30 April 2012 dan diwartakan pada 16 Julai tahun lalu. Ia berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dan kadarnya disemak setiap dua tahun. 

Gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung ditetapkan RM900 manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah RM800. 

Richard Riot berkata, antara dipertimbangkan dalam meneliti rayuan penangguhan majikan itu adalah kemampuan kewangan majikan dan jumlah pekerja. 
Mengenai pelaksanaan umur persaraan 60 tahun kementerian itu menerima 331 permohonan majikan untuk menangguhkannya selepas tarikh tutup permohonan pada 30 April lalu. 

Sehubungan itu, majikan tidak boleh memberhentikan pekerja sebelum mencapai umur persaraan minimum. Bagaimanapun, pekerja boleh membuat pilihan untuk bersara lebih awal menerusi persetujuan dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif (CA) dengan majikan.

No comments:

Post a Comment