Tuesday, 9 July 2013

Tak salah nikmati juadah enak

Umat Islam tidak digalak berpesta makanan ketika berbuka puasa
Ramadan datang lagi. Bersyukur kita kepada Allah SWT atas limpah kurnianya dengan mempertemukan kita semula dengan bulan yang penuh kemuliaan, iaitu Ramadan.


Dalam bulan ini disediakan pelbagai rahmat dan kemuliaan untuk direbut umat Islam. Pada Ramadan yang mulia ini, diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang akil baligh dan mukallaf untuk menunaikan kewajipan berpuasa, antara rukun Islam. 

Ramadan mempunyai pelbagai keistimewaan dan yang paling masyhur dan utama adalah disunatkan menunaikan solat Tarawih berjemaah yang mana tidak dilakukan pada bulan lain selain Ramadan.

Pada bulan mulia ini, terdapat malam dinamakan ‘lailatulqadar’ yang diiktiraf Allah SWT lebih baik daripada 1,000 bulan.

Berpuasa adalah menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit matahari hingga terbenamnya matahari.



Pengajaran puasa perlu dihayati umat Islam 

Puasa dipenuhi dengan pengajaran untuk dihayati umat Islam. Bukan saja menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa secara umumnya mengajar kita menahan dan mengawal nafsu daripada perkara yang boleh membatalkan puasa.

Umat Islam perlu sedar bahawa puasa turut diperintahkan kepada umat terdahulu, sebelum wahyu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, seperti diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”.

Ayat itu memberi penjelasan bahawa puasa itu amalan yang biasa diamalkan sebelum turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dan bukan perkara berat dan bukan juga satu penyeksaan kepada umat Islam.

Di samping itu, Allah juga tidak memberatkan manusia dengan satu arahan berpuasa secara keras tanpa pengecualian atau kelonggaran.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 


Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka. 

“Kemudian diwajibkan menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari lain. Dengan ketetapan yang demikian itu, Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuknya dan supaya kamu bersyukur”.



Kelonggaran tidak berpuasa

Daripada ayat ini jelas Allah menyuruh kita berpuasa, tetapi bagi yang mengalami kesukaran dibenarkan untuk tidak berpuasa pada hari yang sukar dan termasuklah perempuan yang datang haid.

Orang yang bermusafir juga diberi kelonggaran, namun hari dia tidak berpuasa itu mesti diganti pada hari lain selepas Ramadan, sebelum bertemu Ramadan tahun berikutnya.

Namun, di sebalik kelonggaran ini, bukan pula tiket untuk sesiapa yang memperoleh kelonggaran untuk makan atau minum atau melakukan perkara ditegah di khalayak umum.

Mengikut enakmen negeri dan akta yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah, mereka yang didapati tidak menghormati kemuliaan Ramadan, boleh didenda antara RM1,000 hingga RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Perlu difahami bahawa mereka yang mendapat kelonggaran daripada menunaikan puasa pada Ramadan hendaklah menghormati bulan yang mulia ini. Apatah lagi bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa, jangan bersikap riak dan takbur terhadap orang lain yang sedang menjalankan ibadat puasa.

Seharusnya bagi mereka yang tidak berpuasa terutama sekali bagi yang sengaja, harus ada perasaan malu dan rendah diri dengan kelemahan jiwa dan fizikal kerana gagal menjalani ibadah puasa ini.



Penuhi masa dengan ibadah lain

Kita juga seharusnya menghayati ibadah berpuasa dengan memenuhkan masa dengan ibadah lain bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Janganlah kita pada waktu bulan puasa ini lalai dengan pesta makanan dengan juadah yang antaranya kita tidak akan jumpa pada bulan selain daripada bulan puasa.

Tidak salah menikmati juadah yang menyelerakan apabila tiba waktu berbuka kerana salah satu hikmah berpuasa juga adalah kita diberi Allah perasaan gembira apabila tiba berbuka dengan menjamu selera dengan hidangan yang enak.

Namun kita juga harus mengerti bahawa Ramadan harus direbut dengan memenuhi masa kita dengan ibadah. Bagi mereka yang mempunyai lebih kemampuan juga digalakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan dan berkongsi juadah dengan mereka yang serba kekurangan.

Penting juga untuk kita ingat ialah jangan jadikan bulan ini sebagai pembaziran dengan makanan yang banyak yang akhirnya tidak dimakan dan dibuang begitu saja.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita semua insan lebih bertakwa dan menjadi seorang Islam lebih baik daripada sebelumnya serta berkekalan selepas Ramadan.

Bersamalah kita berdoa semoga kita akan dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun akan datang.





Credit: Moeis Basri/PPSM


No comments:

Post a Comment