KUCHING 10 Julai - Empat maut, tiga daripada mereka rentung setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pengangkut sebelum terbakar di Km56, Jalan Sri Aman-Sarikei, kira-kira 200km dari sini, hari ini.
Kesemua yang maut dipercayai warga Indonesia dan pemandu MPV yang dikenal pasti sebagai Tinus Salleh, 45, telah terpelanting keluar terjatuh di permukaan jalan dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Jurucakap Balai Polis Sri Aman yang dihubungi dari sini berkata, identiti tiga yang rentung masih belum dapat dikenal pasti.
Katanya, dalam kejadian kira-kira 10.25 pagi itu, MPV berkenaan terperosok ke bahagian bawah lori sebelum terbakar.
Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas MPV itu hilang kawalan dan melencong ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan.
Katanya, pemandu lori berumur 34 tahun dan dua penumpangnya terselamat dan mereka dibawa ke Balai Polis Sri Aman untuk disoal siasat.
Mayat keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment