Wednesday, 17 July 2013

Keistimewaan Ramadan

DARIPADA Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadan, iaitu:

1. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah.

2. Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Allah SWT memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: Hampir-hampir hamba-Ku yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan, lalu kembali kepadamu. (Mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat).

4.Syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti bulan lain selain Ramadan.

5. Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya).

Mengenai anugerah kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda: "Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar? Baginda menjawab: "Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalnya." (riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita betapa istimewanya bulan Ramadan.

Tetapi sayang seribu kali sayang, apabila berlaku pengabaian dan kecuaian daripada pihak kita sendiri sehingga tidak mampu melaksanakan ibadat puasa dengan sebaik mungkin. Tambahan pula, ada dalam kalangan kita yang mensia-siakan kelebihan Ramadan.

Antara gejala yang kurang sihat dan tidak baik adalah seperti;


  • Melepak dan membuang masa dengan perbuatan sia-sia tanpa diisi dengan perkara yang boleh mendatangkan pahala.


  • Melaksanakan kerja yang sia-sia tanpa faedah seperti bermain dam atau seumpamanya semata-mata kerana menunggu masa berbuka puasa.


Begitu juga menggunakan masa untuk mengumpat dan mencela. Ini adalah perkara yang amat di larang yang boleh mengurangkan nilai dan pahala ibadat puasa. Apa yang lebih dibimbangkan tidak mendapat sebarang pahala tetapi mengundang dosa. Maka sia-sialah ibadat puasa mereka dan hanya memperoleh lapar dan dahaga sahaja.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita semangat untuk mengisi Ramadan dengan ibadat yang layak mendapat takwa dan penerimaan daripada Allah SWT.



Credit: 
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKR

No comments:

Post a Comment