Wednesday, 24 July 2013

Kaedah baru tarik pembayar zakat

Kaedah baru tarik pembayar zakatMaskot Ustaz Amil dan Mohammed menunjukkan van bergerak zakat.- Foto Saddam Yusoff


Maskot Ustaz Amil, van bergerak pikat generasi muda tunai Rukun Islam ketiga

Jika umat Islam mengetahui kelebihan membayar zakat iaitu janji Allah untuk pulangan berlipat kali ganda daripada jumlah dizakatkan, pasti mereka akan berlumba-lumba mengeluarkan 2.5 peratus bahagian daripada harta dimiliki. 

Ramai yang menunaikan Rukun Islam ketiga itu mengecapi kehidupan lebih baik, perniagaan semakin berkembang dan jiwa juga tenang. Hakikatnya, hanya mereka yang membayar zakat akan merasai nikmat sukar digambarkan.

Justeru, bagi memberi kefahaman mengenai ibadat zakat dan memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) memperkenalkan tutorial Ustaz Amil dan perkhidmatan van kaunter bayaran zakat bergerak.

Maskot Ustaz Amil

Pengurus Besar Operasi PPZ MAIWP, Mohammed Hassan, berkata dulu kefahaman mengenai zakat diberi di kaunter atau ceramah, kini maklumat itu boleh diperoleh daripada Maskot Ustaz Amil iaitu pendakwah animasi.

Beliau berkata, Ustaz Amil diwujudkan bertujuan mempromosikan dan mengukuhkan jenama PPZ MAIWP serta zakat kepada masyarakat umum secara online di media media baru seperti Facebook, portal, Youtube dan Twitter. 

“Menerusi video tutorial zakat Ustaz Amil berkongsi maklumat mengenai zakat. Watak animasi 3D ini menerangkan serta mengupas isu zakat secara santai. Kita yakin, gaya persembahan begini dapat menarik minat khususnya generasi muda yang sinonim dengan teknologi maklumat,” katanya.

Sebanyak sembilan episod tutorial disediakan meliputi pengertian zakat, jenis harta dikenakan zakat, kepada siapa zakat diagihkan serta pengiraan zakat (pendapatan, simpanan, saham, emas dan perniagaan).

PPZ MAIWP turut melancarkan Van Bergerak Zakat PPZ MAIWP untuk memperluaskan dakwah zakat di seluruh Wilayah Persekutuan dan pada masa sama memberi kemudahan orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab membayar zakat merentasi masa serta tempat.

Mohammed berkata, van bergerak itu memulakan operasi Januari lalu dan dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai baru-baru ini yang menyediakan kemudahan pembayaran zakat secara tunai dan melalui potongan gaji.

Mudah bayar zakat

Selain memudahkan urusan membayar zakat, van bergerak ini juga menjadi wadah kepada PPZ MAIWP untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam melaksanakan tanggungjawab selain membantu menyelesaikan masalah melalui pertanyaan yang diutarakan.

“Masyarakat boleh membuat permohonan untuk van bergerak zakat ini datang ke tempat mereka dengan menghubungi talian 1300885757. Van ini menyediakan kemudahan menerima bayaran dan pertanyaan mengenai zakat.

“Saya yakin kemudahan disediakan ini dapat mengurangkan kesesakan di kaunter khususnya pada minggu akhir Ramadan dan hujung tahun. PPZ MAIWP masih meneruskan operasi kaunter dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang setiap hari termasuk cuti umum,” katanya.

Katanya, orang ramai yang datang ke kaunter boleh membayar zakat secara tunai, menggunakan kad debit, kat kredit dan cek. Data bagi 2012 menunjukkan ramai membuat bayaran menggunakan kad debit dan kad kredit.

Sasar kutipan RM430 juta

Tahun ini, PPZ MAIWP menetapkan kutipan sebanyak RM430 juta dengan jumlah pembayar kira-kira 120,000 berbanding RM402 juta pada 2012. Setakat enam bulan pertaman tahun ini, sebanyak RM178 juta diterima daripada 94,562 pembayar zakat.

Mengulas mengenai mereka yang masih ‘liat’ untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim, Mohammed menasihatkan mereka supaya tidak beranggapan bahawa membayar zakat itu akan merugikan.

Katanya, mereka yang enggan membayar zakat bererti memakan harta orang lain kerana Allah SWT sudah menjelaskan bahawa dalam setiap harta dimiliki seseorang itu sebahagiannya milik orang lain iaitu golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

“Sebenarnya saya melalui banyak pengalaman dengan mereka yang bertangguh membayarnya dan tidak membayar zakat. Bagi yang membayar zakat, hanya mereka tahu nikmat dijanjikan Allah itu.

“Begitu juga yang tidak bayar, turut berdepan pelbagai peristiwa,” katanya.

Melihat kepada pelbagai kemudahan disediakan PPZ MAIWP dan pembaharuan dilakukan demi memastikan orang ramai mudah membayar serta mendapat maklumat mengenai ibadat zakat, maka tidak ada alasan umat Islam menangguhkan hasrat mereka membayar zakat

No comments:

Post a Comment