Koperal, anak nyaris disamun
Tempat kejadian dipasang tali keselamatan sementara menunggu ketibaan pasukan forensik untuk menjalankan siasatan.
BENTONG – Tindakan dua penyamun bersenjatakan parang menyamun seorang lelaki yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal mengundang padah apabila seorang daripada mereka cedera terkena tembakan.

Suspek cedera di bahagian rusuk kiri ketika cubaan menyamun di persimpangan masuk ke Felda Lurah Bilut kira-kira jam 4.10 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Mempaga itu dalam perjalanan pulang dari Bandar Bentong bersama anak perempuannya, 17, ke rumahnya di Berek Polis Lurah Bilut.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mangsa iaitu kereta Proton Iswara ditahan kenderaan suspek jenis Mercedes Benz berwarna hitam.

“Seorang suspek bertindak keluar dari kenderaan dan mengacukan parang ke leher anak mangsa dan meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa kemudian bertindak pantas dengan melepaskan tembakan ke arah suspek menggunakan pistol untuk mempertahankan diri dan anak perempuannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, selepas seorang daripada mereka terkena tembakan, kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa dan anaknya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

“Polis giat mengesan kedua-dua suspek terbabit. Orang awam yang melihat pergerakan individu yang mencurigakan dan cedera akibat terkena tembakan diminta membuat laporan segera,” katanya.

Credit: NORFARAHAH OTHMAN