Friday 12 July 2013

131 laman web jual ubat haram dikesan

131 laman web jual ubat haram dikesanAntara produk perangsang seks dan pelangsingan badan yang dijual secara haram melalui internet dan berbahaya kepada kesihatan.
Rampas 21 bungkusan mengandungi ubat tidak berdaftar

Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan mengesan 131 laman web menjual ubat haram, termasuk perangsang seks dan produk pelangsing badan, dalam tempoh enam bulan tahun ini.


Daripada jumlah itu, empat laman web sudah ditutup Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyalahi Akta Racun 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Dalam tempoh itu juga, kementerian memeriksa 888 bungkusan di pintu masuk utama dan pusat mel seluruh negara serta merampas 21 bungkusan mengandungi ubat tidak berdaftar bernilai RM76,600.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A Rahman, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan penjualan ubat haram melalui internet kerana membahayakan kesihatan orang ramai.

Sentiasa pantau

“Kita sentiasa memantau laman web penjualan ubat bagi memastikan ubat berkenaan didaftar dan mendapat kelulusan kementerian,” katanya pada sidang media mengenai pindaan Kod Tata Laku Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA), di sini, semalam. 


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai dan Presiden PhAMA, Yew Wei Tarng.

Dalam perkembangan lain, Eisah menafikan sedang berdepan krisis bekalan ubat di klinik dan hospital kerajaan, sebaliknya ia masih mencukupi untuk keperluan orang ramai.

Katanya, dakwaan wujud kehabisan ubat berpunca masalah komunikasi membabitkan doktor yang tidak dimaklumkan perkara terbabit sehingga membuat keputusan menggunakan ubat lain.

Beliau berkata, penghantaran ubat kepada pesakit pada masa kini lebih mudah apabila perkhidmatan pos digunakan tanpa memerlukan pesakit kembali ke hospital atau klinik.




Credit: Ahmad Feisal Othman dan Norakmah Mat Youb


No comments:

Post a Comment