Tuesday 23 July 2013

SIS diminta hentikan provokasi isu fatwa pengharaman Ratu Cantik

Othman Mustapha

KUALA LUMPUR 23 Julai - Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan pihak Sisters In Islam (SIS) supaya menghentikan provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik kepada orang Islam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, kenyataan SIS mempertikaikan kedudukan institusi fatwa dari sudut perundangan adalah tidak mengikut pandangan syarak dan tidak merujuk kepada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah tidak timbul dakwaan wujudnya diskriminasi dalam fatwa atau hukum yang dikeluarkan sama ada berasaskan gender, double standard atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak tentang hukum itu.

"Dalam membicarakan hukum-hakam Islam, semua pihak, khususnya SIS perlu ingat bahawa tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana boleh menimbulkan kacau-bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalarkan maruah agama dan umat Islam seluruhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan SIS yang mempertikaikan pengeluaran fatwa di Malaysia tidak islamik dan demokratik dalam isu ratu cantik di laman portal berita FMT hari ini.

SIS mempersoalkan bagaimana fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 dan yang lain boleh menjadi undang-undang secara automatik tanpa melalui proses perundangan dan ini telah mencabuli kebebasan asasi seseorang.

Baru-baru ini, penganjur Pertandingan Miss Malaysia World 2013 membatalkan penyertaan empat gadis Islam yang terpilih antara 20 finalis pertandingan yang akan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 2 Ogos ini.

Penganjur, Datuk Anna Lim memaklumkan beliau membuat keputusan itu kerana akur dengan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menyatakan haram bagi wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Menurut Othman, isu wanita muslim dilarang menyertai pertandingan ratu cantik memang jelas dilarang oleh Islam dan sudah dimaklumkan kepada semua pihak bahawa melibatkan peragaan tubuh badan wanita di khalayak bukan muhrim.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, menjadi kewajipan mereka mematuhi hukum Allah atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perlakuan yang bersalahan dengan hukum ditetapkan secara qati'e dalam al-Quran dan hadis," tegasnya.

No comments:

Post a Comment