Google+ Followers

Friday, 19 July 2013

Penuntut tertekan tiada kawan terjun tingkat 5

Kajang: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sungai Long, di sini, dipercayai terjun dari tingkat lima sebuah bangunan kuliah universiti berkenaan, awal pagi semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun terbabit mengalami tekanan kerana tidak mempunyai kawan menyebabkan mangsa mengambil keputusan nekad bertindak demikian.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, penuntut tahun kedua jurusan akaun itu ditemui dalam telentang di bawah bangunan kuliah oleh pengawal keselamatan.
“Pada mulanya, pengawal itu menyangka lelaki terbabit mabuk, namun apabila dihampiri didapati ada kesan darah di kepala mangsa.

“Lelaki itu kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Katanya, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala berikutan jatuh dari tempat tinggi, namun punca mangsa bertindak sedemikian masih dalam siasatan.
Menurut sumber, mangsa dipercayai menceroboh masuk ke dalam kawasan berkenaan sebelum naik ke tingkat lima berikutan bangunan terbabit tidak boleh dimasuki selepas waktu kuliah.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).