Wednesday 10 July 2013

Pekan kecil bak ZON PERANG


SEMUA HANGUS: Seorang ahli bomba memeriksa tapak kebakaran yang berlaku selepas sebuah kereta api kargo yang membawa ratusan tan minyak meletup di Canada pada Sabtu lalu. - Foto REUTERS
KERETA API TERBAKAR DI CANADA - 5 MAUT, 40 MASIH HILANG


LAC MEGANTIC (Canada): Sekitar 40 orang masih dilaporkan hilang sehari selepas sebuah kereta api kargo minyak tergelincir dan menyebabkan kebakaran besar di sini pada Sabtu lalu.
Pihak berkuasa Canada berkata penyelamat setakat ini berjaya mengenal pasti lima mayat dalam nahas berkenaan.
Nahas itu telah menyebabkan lebih 2,000 penduduk meninggalkan kediaman dan mencetuskan suasana panik di pekan kecil Lac Megantic yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Montreal itu.
Perdana Menteri Canada, Encik Stephen Harper, menyamakan kawasan itu dengan zon perang dan berkata sekitar 30 bangunan telah hangus terbakar.
"Ini satu bencana yang sukar dipercayai. Ia melibatkan kawasan yang luas, 30 bangunan musnah sepenuhnya, hangus terbakar. Tiada satu pun keluarga di sini yang tidak terjejas ekoran kemalangan ini," kata Encik Harper yang meninjau kawasan bencana kelmarin.
Jurucakap polis daerah Quebec, Sarjan BenoƮt Richard, berkata api yang lama marak menyebabkan operasi menyelamat menemui kesukaran menjalankan kerja mencari mereka yang terkorban dan yang masih hilang.
Namun, pihak berkuasa yakin lebih banyak mayat akan ditemui kelak.
Jurucakap pihak koroner bagaimanapun berkata mungkin sukar untuk mengesan beberapa mayat yang hangus sepenuhnya.
Sementara itu, para penduduk setempat berkata mereka bimbangkan keselamatan berdozen penduduk yang dikatakan berkunjung di sebuah bar, Musi-Cafe, di pekan yang didiami sekitar 6,000 penduduk itu.
Encik David Vachon berkata sejauh ini beliau belum mendapat berita tentang rakannya yang ke bar itu untuk meraikan ulang tahunnya bersama isteri dan teman lain.
"Saya kenal sebahagian besar mereka, sekitar 15 orang yang kini dilaporkan masih hilang... kemalangan ini sangat dahsyat," kata Encik Vachon.
Encik Henri-Paul Audette pula telah ke sebuah pusat perlindungan sementara untuk mencari saudara lelakinya yang masih hilang.
Kediaman saudara lelakinya terletak berdekatan landasan kereta api tempat kemalangan itu berlaku.

MENILAI KEROSAKAN: Seorang ahli bomba berdiri berhampiran bangkai kereta api yang meletup di Lac Megantic, kelmarin, selepas kereta api tanpa pemandu itu hilang kawalan dan meletup seperti bebola api yang memusnahkan sebahagian bandar kecil Quebec. - Foto REUTERS

"Saya belum mendapat berita daripada beliau sejak kemalangan itu berlaku. Saya sangka... saya akan jumpa beliau di sini," katanya hampa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rail World Inc, yang merupakan syarikat induk bagi Montreal, Maine & Atlantic Railway, Encik Edward Burkhardt, berkata kereta api itu telah diletakkan di kawasan atas bukit selepas juruteranya tamat bertugas.
Bagaimanapun, gerabak membawa muatan minyak itu dikatakan terlepas ekoran masalah brek.
Naib Presiden Pemasaran, Encik Joe McGonigle, berkata:
"Kami yakin ia masalah brek. Kereta api itu sudah berhenti.
"Breknya dipasang tetapi kemudian ia terlepas." 


Credit: AP/CyBerita.

No comments:

Post a Comment