Wednesday, 17 July 2013

11 banduan di penjara Kepulauan Riau pula bolos

JAKARTA - Seminggu selepas 218 banduan melarikan diri dari penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera Utara, kejadian serupa berlaku pula melibatkan 11 tahanan polis di Penjara Baloi, Kota Batam, Kepulauan Riau awal hari ini (Rabu).

Mereka yang melarikan diri merupakan tahanan kes dadah yang ditempatkan di situ oleh Polis daerah Barelang dan Ibu pejabat kontinjen polis Kepulauan Riau.

Mereka mengumpil jeriji tingkap di pejabat ketua penjara itu dengan menggunakan besi katil yang dibawa dari sel mereka dan meloloskan diri semasa petugas penjara sedang melakukan pergantian tugas.

Polis telah melancarkan operasi memburu tahanan itu dan sedang menyiasat motif mereka melarikan diri.

Sementara itu Polis Indonesia masih memburu lebih 100 banduan Penjara Tanjung Gusta. 

Laporan menyebut bahawa setakat ini 102 banduan Penjara Tanjung Gusta itu telah ditangkap semula.

Banduan yang masih bebas itu termasuk empat orang anggota kumpulan pengganas yang terlibat dalam kes rompakan Bank CIMB Niaga di Medan dan serangan ke atas Balai Polis Deli Serdang, Sumatera Utara. - Bernama

No comments:

Post a Comment