Saturday, 27 July 2013

Al-Quran penyuluh hidup

MEMBACA al-Quran menenangkan fikiran. Ketenangan yang menjelma dalam jiwa pembaca al-Quran dapat menyelesai masalah yang dihadapi.
Ramai yang menghadapi tekanan hidup mampu mengimbangi hidup dengan membaca al-Quran seterusnya dapat melangsungkan kehidupan dengan sempurna.

Ketenangan yang timbul hasil daripada pembacaan al-Quran adalah menunjukkan ia adalah Kalam Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepada orang yang beriman. (al-Isra: 82)

Allah juga berfirman dengan maksud: Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah (al-Quran al-Karim), ketahuilah dengan zikir kepada Allah tenang tenteramlah hati mereka. (al-Ra'ad: 28)


Nama Allah

Kajian ulama terhadap al-Quran menemukan banyak rahsia dan perkara yang pelik lagi menakjubkan. Antaranya nama Allah yang berulang dalam al-Quran adalah sebanyak 2,699 kali. Purata bilangan ini ialah setiap halaman tidak kurang daripada empat atau lima kali nama Allah tertulis.

Ada bijak pandai merumuskan bahawa nama Allah SWT diulang dengan begitu banyak namun manusia tetap membaca dan tidak merasa jemu mengkaji al-Quran.

Berbeza pula jika ada penulis novel yang menulis namanya dengan jumlah sebegitu di setiap halaman novel, nescaya ramai yang mencemuh dengan mengatakan penulis suka membangga diri dan angkuh. Bahkan novel itu tidak mampu dibaca dan akan dibuang.


Bilangan angka

Kajian juga dilakukan kepada bilangan angka yang disebut di dalam al-Quran. Ada bilangan angka satu, dua, tiga, tujuh, lapan, 19 dan sebagainya. Namun angka yang paling banyak berulang ialah satu. 

Umpamanya firman Allah SWT di akhir surah al-Kahf bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa aku adalah manusia seperti kamu, diwahyukan kepada ku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu.

Kesimpulannya, bilangan nama Allah SWT yang sebanyak 2,699 kali dihubungkan dengan kekerapan bilangan satu sebanyak 30 kali menatijahkan bahawa Allah SWT adalah esa dan bersifat wahdaniyyah.

Menariknya lagi, al-Quran diturunkan dengan ayat yang tidak teratur mengikut urutan surah yang tertulis pada hari ini. Semua maklum bahawa ayat pertama diturunkan ialah lima ayat permulaan surah al-'Alaq. Diikuti beberapa ayat permulaan surah al-Muddathir. Terakhirnya pula ialah ayat 281 surah al-Baqarah.

Nuzul al-Quran mengikut peristiwa dan kejadian yang berlaku. Namun begitu setiap ayat yang diturunkan, Jibril AS akan memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW di manakah harus diletak ayat tersebut? Di surah manakah ia perlu diletakan? Dan Rasulullah SAW akan tahu setiap surah berakhir apabila Jibril AS membaca Basmalah.


Orang bertakwa

Permulaan surah al-Baqarah perlu renungan yang mendalam, lihat dengan mata hati betapa Allah SWT memulakan ayat dengan huruf yang tidak ada manusia memahaminya iaitu alif, lam, mim. Tetapi selepas itu Allah menyatakan bahawa kitab ini adalah panduan kepada orang-orang yang bertakwa.

Hubungan surah demi surah sebanyak 114 surah adalah amat teliti dan sempurna diibaratkan seperti untaian tasbih. Segala keperluan manusia dipaparkan dengan bahasa yang kemas dan menakjubkan.

Peristiwa masa lalu dengan pengajarannya, keperluan manusia kepada panduan hidup masa kini dan jalan kebahagiaan manusia masa hadapan dihurai dengan jelas. Justeru, berbahagialah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Di akhir al-Quran, Allah SWT menamatkan Kalam Suci-Nya dengan surah al-Nas yang bermaksud manusia. Intisari surah al-Nas ialah perlindungan kepada Allah SWT daripada segala bahaya zahir dan bahaya batin.

Bahaya batin ialah gangguan dan perasaan ragu-ragu daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita, syaitan dan jin. Juga tipu daya daripada makhluk yang berupa manusia.

Lantaran itu, dampingilah al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya. Semoga kita menjadi manusia yang mendapat syafaat al-Quran di Hari Kemudian.


Credit: DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD (USIM)

No comments:

Post a Comment