Tuesday 16 July 2013

Polis contoh didakwa bunuh

Polis contoh didakwa bunuhIskandar (tengah) diiringi polis ketika meninggalkan sebuah mahkamah di Singapura semalam, selepas didakwa melakukan dua pembunuhan Rabu lalu. - Foto AFP]
Mangsa diseret satu kilometer dengan kereta

Singapura: Seorang anggota polis Singapura yang pernah dinobatkan sebagai pegawai contoh semalam didakwa atas kesalahan membunuh seorang ahli perniagaan bersama anak lelakinya dalam satu kes yang menggemparkan di bandar raya itu.
Staff Sarjan Kanan Iskandar Rahmat, 34 didakwa membunuh pemilik bengkel kereta, Tan Boon Sing, 67 dan anak lelakinya, Tan Chee Heong, 42, Rabu lalu.

Lelaki berkenaan dibunuh di kediamannya manakala mayat anak lelakinya ditemui kira-kira satu kilometer selepas diseret di bawah sebuah daripada kereta milik keluarga berkenaan, sehingga meninggalkan jejak berdarah di sebuah jalan yang sibuk.


Segera ditahan

Iskandar, yang pernah dinobatkan sebagai pegawai polis contoh melalui laman web Polis Singapura, dikatakan meninggalkan kereta terbabit dan melarikan diri ke Malaysia menaiki sebuah skuter tetapi segera ditahan dan dibawa ke Singapura.

Media Singapura berkata suspek, yang sudah berkahwin dan berkhidmat dalam pasukan selama 14 tahun diisytiharkan muflis dan sedang disiasat kerana gagal melaporkan masalah kewangannya kepada pegawai atas beliau. 

Dia dilarang membawa senjata api ketika siasatan dijalankan.


Aduan kecurian

Tiada sebarang motif yang diketahui membabitkan pembunuhan itu tetapi seorang jurucakap polis mengesahkan laporan bahawa Iskandar pernah menerima satu aduan kecurian oleh pemilik bengkel itu November tahun lalu, dan selepas itu dia ditukarkan ke tempat lain.

Kes berkenaan mengejutkan Singapura yang mempunyai kadar jenayah rendah.

Berdasarkan statistik rasmi, bilangan pembunuhan di Singapura mencecah rekod serendah 11 dalam tempoh 20 tahun pada 2012, menurun daripada 16 yang dilaporkan pada 2011.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hujung minggu lalu, Pesuruhjaya Polis, Ng Joo He berkata: “Pasukan polis dan setiap anggotanya tercemar dengan tindakan seorang anggota ini,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment