Friday, 19 July 2013

Jihad suci doktor pakar

Kaherah: Puluhan doktor pakar dari seluruh Mesir yang menyokong pentadbiran Presiden Mesir Muhamed Mursi sanggup meninggalkan hospital dan klinik dimiliki bagi menjadi doktor sukarela di Dataran Raba’ah, di sini.
Rata-rata doktor pakar ini menganggap tugas memberi rawatan termasuk pembedahan kepada penyokong Mursi yang cedera dipukul atau ditembak polis serta tentera Mesir sebagai jihad suci.

Doktor yang bertugas Mohamed Shehab, 28, berkata, dia sanggup meninggalkan tugasnya di hospital milik kerajaan semata-mata untuk menabur bakti di dataran itu sejak 8 Julai lalu.
Menurutnya, setiap hari ada penyokong Mursi cedera dipukul atau sakit dihantar menerima rawatan di dewan Masjid Rabiatul Adawiyah di Dataran Raba’ah yang dijadikan ‘hospital’ sementara.

“Walaupun serba kekurangan dari segi peralatan dan kemudahan, pasukan doktor yang bertugas 24 jam sehari ini berusaha memberikan rawatan terbaik.

“Malah kami pernah memberikan rawatan kecemasan kepada ratusan penyokong yang cedera ditembak termasuk melakukan pembedahan serta-merta bagi mengeluarkan ratusan peluru hidup,” katanya.
Mohamed berkata, pusat rawatan yang dibuka itu turut dikunjungi antara 30 hingga 50 penyokong Mursi warga emas yang mengalami sakit alahan, demam atau sakit uzur saban hari.

Sementara itu seorang lagi doktor farmasi Abdullah Osman, 50, bersyukur atas bantuan individu persendirian yang menyumbangkan wang dan ubat bagi kegunaan hospital sementara itu.
Katanya, tingkat dua dewan masjid dijadikan stor bagi menyimpan pelbagai ubat manakala tingkat satu bilik pembedahan dan pemeriksaan doktor.

“Protes ini akan berterusan untuk tempoh panjang. Bagaimanapun saya tetap di sini untuk menyumbang tenaga walaupun tanpa dibayar gaji. Ini tekad saya,” katanya.


Credit: Mohd Jamilul Anbia Md Denin

No comments:

Post a Comment