Friday, 12 July 2013

Sindiket kutip derma tumpas

Sindiket kutip derma tumpasChe Mat (kiri) menunjukkan sebahagian tabung yang dirampas pada operasi pemantauan kegiatan memungut derma di Wilayah Persekutuan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam/bh]
JAWI rampas 133 tabung, tahan 12 dalang sekitar KL, Putrajaya

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merampas 133 tabung kutipan derma dan menahan 12 individu yang dipercayai menjadi dalang, hasil pemantauan sejak tiga minggu lalu.


Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, berkata pihaknya memantau kegiatan memungut derma tanpa kebenaran pihak berkuasa itu sekitar ibu kota dan Putrajaya.

Individu asnaf dan fakir perlu menggunakan saluran betul seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Baitulmal Wilayah Persekutuan (Baitulmal) untuk memohon bantuan” Che Mat Che Ali, Pengarah JAWI

Beliau berkata, JAWI sudah menghentikan pengeluaran surat kebenaran mengutip derma sejak 10 tahun lalu dan mereka yang menggunakan surat kebenaran dengan cop JAWI sebagai bukti mengutip derma oleh mana-mana pihak atau individu adalah tidak sah.

Berlindung nama pusat tahfiz

Katanya, operasi yang dilakukan pihaknya bertumpu di kawasan tapak pasar malam dan gerai makan yang menjadi tumpuan umum.

"Kita yakin ada kumpulan menggerakkan sindiket mengutip derma, termasuk berlindung di sebalik nama beberapa pusat tahfiz bagi menyakinkan orang ramai. 


“Di sebelah petangnya, kita dapati kumpulan kanak-kanak ini dijemput beberapa kereta mewah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Che Mat berkata, mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 84 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993 (Pungutan Khairat).

Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“JAWI sudah lama menghentikan surat mengizinkan kutipan derma dibuat daripada orang ramai. Hanya kutipan derma khusus bagi rakyat Gaza di Palestin yang mendapat kelulusan JAWI,” katanya.

Beliau berkata, individu yang tergolong sebagai asnaf dan fakir perlu menggunakan saluran betul seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau Baitulmal Wilayah Persekutuan (Baitulmal) untuk memohon bantuan.

Che Mat berkata, golongan terbabit dikatakan enggan memohon bantuan mengikut cara sepatutnya kerana perlu menyediakan pelbagai dokumen.

Bagaimanapun, katanya, dokumen diperlukan penting bagi memastikan hanya golongan yang layak menerima bantuan berkenaan.


Credit: Norasyidah Arshad

No comments:

Post a Comment