Thursday, 11 July 2013

Layanan Nabi baik dan mesra

Rasulullah SAW adalah seorang komunikator yang hebat. Sesiapa sahaja yang baru mengenali baginda akan berasa seolah-olah sudah lama mengenalinya.

Keadaan demikian berlaku kerana baginda melayan dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja secara baik dan mesra. Baginda mempunyai strategi yang spesifik dalam berkomunikasi dan menyampaikan ajaran agama kepada sahabat. Satu daripada strategi Rasulullah adalah meraikan psikologi sahabat yang bertanya. Buktinya kita akan dapati jika kita melihat kepada jawapan Rasulullah terhadap pertanyaan sahabat. Jika meneliti hadis, ada soalan yang sama ditanyakan kepada Rasulullah SAW tetapi baginda memberi jawapan berbeza terhadap soalan berkenaan. Sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang paling baik. Rasulullah menjawab, beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Sabda baginda: “Berjihad pada jalan Allah.” Seterusnya baginda ditanya: “Kemudian apa lagi?” Sabda baginda: “Menunaikan ibadat haji yang mabrur.” Namun, apabila Abdullah bin Mas’ud bertanya soalan sama kepada Rasulullah SAW, baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” Baginda terus ditanya dan menjawab: “Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” Kata Ibnu Mas’ud: “Kemudian apa lagi?” Jawab Rasulullah: “Berjihad pada jalan Allah.” 

Menyampaikan nasihat berselang-seli 

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud katanya: “Rasulullah memberi nasihat secara berselang-seli dalam beberapa hari bagi mengelakkan rasa jemu kepada kami.” Ibnu Hajar al-Asqalani berpendapat, hadis di atas menjelaskan mengenai kehalusan cara baginda dalam menyampaikan pengajaran dan memberi kefahaman kepada sahabat.

Imam Khattabi memberi ulasan dengan menyatakan bahawa maksud baginda berselang-seli menyampaikan nasihat ialah baginda meraikan waktu tertentu dalam menyampaikan pengajaran dan nasihat, namun tidak melakukannya setiap hari bagi mengelakkan jemu di hati sahabat. Dalam ilmu pendidikan, perasaan jemu akan membantutkan proses pembelajaran. 

Belajar beransur-ansur akan memantapkan ilmu yang didengar berbanding menerimanya sewaktu minda dalam keadaan bosan. 

Menyampaikan nasihat terlalu kerap juga akan menimbulkan perasaan jemu kepada orang yang dinasihati. Malah, pada satu tahap, nasihat akan diterima oleh minda pendengar sebagai leteran.


Bercakap secara terang dan jelas 

Aisyah RA meriwayatkan: “Apabila Nabi berbicara dalam sesuatu isu, sekiranya ingin dihitung ungkapan yang baginda gunakan, sudah tentu dapat menghitungnya.” Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas bahawa sekiranya orang yang mndengar perbicaraan Nabi ingin menyebut kembali perkataan atau hurufnya, dia mampu berbuat demikian sehingga ke akhir perbicaraan baginda. Ia adalah satu petanda bahawa Rasulullah SAW begitu menjaga susunan perkataan dalam ucapan.

Menurut Ibnu Hajar juga, ini adalah satu sebab kenapa hadis Nabi dengan mudah dapat dihafaz oleh sahabat dan kemudian ditulis oleh mereka. Komunikasi yang lancar oleh seseorang pemimpin akan melancarkan perjalanan organisasi manakala kekaburan dalam komunikasi akan menyebabkan perjalanan organisasi terganggu. 


Kadangkala menegur secara tegas 

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Jabir bin Abdillah al-Ansari menyebut, suatu ketika Mu’az bin Jabal menjadi imam solat Isyak dan memanjangkan solatnya. 

Keadaan demikian menyebabkan seorang makmum yang mempunyai hajat berpisah (mufaraqah) daripada solat dan menunaikan solat seorang diri lalu beredar lebih awal. 

Mengetahui kejadian berkenaan, Rasulullah marah kepada Mu’az dan bersabda: “Wahai Mu’az adakah anda mahu menjadi sumber fitnah atau orang yang menimbulkan fitnah (sebanyak tiga kali)? Bukankah lebih baik anda menunaikan solat dengan membaca (ayat 1 dan 2 surah asy-Syams) kerana yang solat di belakang anda adalah orang tua, orang yang lemah dan orang yang berhajat.” 

Hadis itu menyatakan bahawa Rasulullah SAW menegur Mu’az kerana memanjangkan solat dengan makmum yang ada hajat sehingga membuatkan makmum mufaraqah dan solat seorang diri. Rasulullah menegur Mu’az dengan keras kerana tugas seorang pendakwah adalah mendekatkan orang kepada Islam dan bukannya menjauhkan lagi orang daripada agama. 

Dalam satu hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya anda diutuskan untuk memudahkan dan bukan diutuskan untuk menyusahkan.” Baginda juga bersabda: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan.” Lazimnya dalam banyak keadaan Rasulullah adalah seorang yang berlembut dalam interaksinya. 

Namun, pada sesetengah keadaan memerlukan baginda bersikap tegas. Baginda menggunakan kaedah ini terhadap sahabat yang lama dikenalinya dan bukan kepada sahabat yang baru memeluk Islam. 


Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa & Penulis Buku Marah Tapi Sayang dan boleh dihubungi melalui Facebook: Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

No comments:

Post a Comment