Tuesday 30 July 2013

Kaki melecur petrol meriam meletup

Kaki melecur petrol meriam meletup Mohd Daniel menunjukkan kakinya yang melecur di Hospital Parit Buntar, semalam.
Parit Buntar: Seorang kanak-kanak melecur kaki kiri hingga terpaksa dibuang kulit akibat disambar api ketika bermain meriam buatan sendiri di Parit Abas, Kuala Kurau, di sini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Rabu lalu, Mohd Daniel Azhad Akhyar, 10, bermain meriam dibuat daripada tin bersama beberapa rakan selepas solat tarawih.


“Saya tawarkan diri untuk meletupkan meriam. Saya pegang buluh pencucuh dan dekatkan dengan lubang tapi meriam tak meletup sebab api pencucuh terpadam. 

“Saya tak perasan masih ada bara di buluh, saya rendamkan dalam bekas berisi petrol dekat tempat saya berdiri.

 

Berguling atas tanah 
“Tiba-tiba bekas berisi petrol itu meletup dan api menyambar kaki kiri saya. Saya berguling atas tanah sambil mengerang kesakitan manakala rakan saya cuba memadamkannya dengan kain basah,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar, semalam. 

Sementara itu, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, beliau sibuk membuat kuih bersama ibunya sebelum dikejutkan panggilan seseorang dan disusuli suara kanak-kanak meraung kesakitan. 


“Saya terkejut melihat adik berlumuran darah dipapah orang kampung. Saya menelefon ayah yang berada di surau berhampiran sebelum kami sekeluarga menghantar adik ke hospital,” katanya. 

Beliau berkata, doktor mengesahkan kulit kaki Daniel terpaksa dibuang dan adiknya itu mungkin menyambut Aidilfitri di hospital kerana luka dialami serius.



Credit: Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

No comments:

Post a Comment