Wednesday, 17 July 2013

Mangsa hadiah 'buah tangan' untuk rakan, guru

KUALA LUMPUR 17 Julai - Murid tahun lima, Khairulamir Azri Lani, 11, sempat menghadiahkan 'buah tangan' yang dibeli ketika melancong ke Sabah baru-baru ini kepada 33 rakan sekelas dan guru sekolahnya sebelum maut tersepit dalam lif rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras di sini hari ini.

Ibu saudara mangsa, Nor Azmira Mat Zain, 37, berkata, semasa membawa arwah melancong ke Sabah selama empat hari pada 5 Julai lalu, Khairulamir yang mesra dipanggil Amir beria-ria mahu menghadiahkan pemegang kunci dan pen kepada semua 33 rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak di sini.

Menurut Nor Azmira, selain mahu membeli 'buah tangan' untuk rakan sekelas, arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik juga meminta dibelikan kerongsang untuk dihadiahkan kepada guru-guru yang mengajarnya.

"Saya kata tak payahlah nak beli 'buah tangan' untuk semua rakan kelas sebab mahal tetapi arwah merayu permintaannya dipenuhi.

"Saya terpaksa menuruti kemahuannya dan tidak sangka hadiah itu adalah pemberian terakhir untuk rakan-rakannya," katanya Nor Azmira ketika ditemui di bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) hari ini.

Nor Azmira berkata, dia tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga Amir di tingkat 15 PPR Desa Tun Razak memang cukup rapat dengan anak saudaranya itu kerana sudah menjaganya sejak berusia enam bulan.

Kakitangan RHB Bank di Salak Selatan itu memberitahu, sejak akhir-akhir ini, dia memang perasan anak saudaranya itu berkelakuan agak pelik kerana sering menciumnya setiap kali pulang daripada mengunjunginya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa arwah adalah ketika bersahur bersama di rumah kakaknya pagi tadi dan Amir malam tadi juga sempat mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) menanyakan apa yang mahu dimakan untuk berbuka puasa nanti.

Menurut Nor Azmira, dia sempat membawa Amir membeli pakaian raya baru-baru ini dan sudah menempah sepasang baju Melayu berwarna kuning untuk anak saudaranya itu namun belum sempat siap dan berasa cukup terkilan tidak menghadiahkannya kepada arwah.

Sementara itu, seorang kakak kepada Amir, Khairunisa, 17, memberitahu, dia terkejut apabila dihubungi oleh rakannya tentang insiden menimpa adiknya itu semasa berada di sekolah.

"Saya bergegas pulang untuk melihat apa berlaku. Macam tak percaya Amir sudah meninggalkan kami sekeluarga kerana baru pagi tadi saya menemaninya mengambil beg sekolah yang tertinggal di rumah nenek di tingkat tiga dan sama-sama berjalan kaki ke sekolah," katanya.

Nenek mangsa, Che Ane Che Soh, 58, pula berkata, cucu kesayangannya itu berperangai pelik apabila kerap membeli baju baharu yang berjenama dan mahal sejak akhir-akhir ini.

Katanya, Amir setiap kali balik sekolah akan tinggal di rumahnya sehingga berbuka puasa dan malam tadi, cucunya itu bersama seorang kakak, sepupu dan rakannya sempat pergi menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia dengan kelab bola sepak dari Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Che Ane memberitahu, Amir memang aktif dalam sukan dan sedang membuat persediaan untuk menyertai pertandingan bola sepak di sekolahnya.

"Jika jenazah Amir selesai dibedah siasat malam ini, kami akan membawanya pulang ke Kampung Sungai Bachok, Kelantan untuk dikebumikan esok," katanya.




No comments:

Post a Comment