Wednesday 31 July 2013

Pelajar ponteng puasa ditahan

  • Pelajar ponteng puasa ditahanPelajar yang ditangkap turut diberi kaunseling.
 1 / 3 
KUALA NERUS – Ramadan belum cukup memberi keinsafan kepada lima pelajar apabila ditangkap dalam Operasi Ponteng dan Merokok di beberapa lokasi tumpuan pelajar bermasalah.

Operasi oleh Komuniti Kepolisan Balai Polis Gong Badak dengan kerjasama lebih 20 agensi kerajaan, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), bertujuan memberi peringatan kepada pelajar bahawa aktiviti mereka sentiasa diperhatikan.

Pengerusi Komuniti Kepolisan Balai Polis Gong Badak, Md Azmi Abd Aziz berkata, fokus utama operasi itu ialah mencegah pelajar yang terbabit dengan aktiviti tidak sihat daripada terjebak dengan kegiatan yang lebih teruk.

“Tujuan utama kita ialah memberi kesedaran kepada mereka. Pelajar yang berjaya ditangkap diberi kaunseling dan nasihat supaya mereka tidak mengulangi kesilapan sama dan bukannya untuk menghukum semata-mata.

“Bagaimanapun, pihak kami akan sentiasa bertegas dalam usaha mencegah aktiviti yang tidak bermoral daripada terus menular dalam kalangan pelajar dan pada masa sama kita memerlukan kerjasama serta  penglibatan semua pihak termasuk masyarakat sekeliling untuk bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui sebaik selesai operasi berkenaan, di sini, semalam.

Pelajar ponteng puasa ditahan

Tiada tindakan diambil

Menurut Md Azmi, kelima-lima pelajar dari dua sekolah yang sememangnya menjadi tumpuan kaki ponteng itu ditahan kerana berada di luar ketika waktu persekolahan dan setelah disiasat, mereka turut diberi teguran agar tidak mengulangi kesilapan sama.

“Setakat ini, dalam mana-mana operasi yang kita jalankan, kita tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pelajar yang ditahan kerana tumpuan kita untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada mereka supaya berubah.

“Selain itu, masyarakat sekeliling terutama yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti tidak sihat melibatkan pelajar diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana dengan cara itu secara tidak langsung mampu menyelamatkan masa depan mereka,” katanya.

Hantar ikuti kursus

Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang memasuki edisi keenam itu, pihaknya juga turut menjalin kerjasama dengan Batalion Ke-18, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sri Pantai untuk menghantar pelajar yang didapati bermasalah mengikuti kem atau kursus untuk memantapkan lagi disiplin diri.

“Setelah perbincangan bersama dibuat, kami bersetuju menghantar mana-mana pelajar yang bermasalah mengikuti kursus di kem berkenaan dengan harapan mampu membentuk diri ke arah yang lebih baik kerana cara terbaik untuk memulihkan pelajar bermasalah ialah dengan memahami masalah dihadapi mereka.

“Justeru, kita berharap agar dengan cara ini dapat melatih pelajar terbabit supaya tidak mengulangi kesilapan sama, sebaliknya memberi tumpuan terhadap pelajaran,” katanya.

Pelajar ponteng puasa ditahan

Menurut beliau, UMT turut menyatakan persetujuan dengan menjadikan pelajar yang bermasalah sebagai adik angkat kepada penuntut universiti berkenaan supaya mampu memberi sumber inspirasi untuk berjaya seperti kakak dan abang angkat mereka nanti.

“Formula atau sistem baru yang akan kita laksanakan ini diharap mampu memberi keberkesanan dalam usaha mengurangi gejala ponteng dan merokok yang melibatkan pelajar sekolah kerana kita difahamkan jumlah terlibat dengan aktiviti tidak sihat ini sentiasa bertambah dan perlu dibendung segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pelbagai agensi yang nyata sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

"Dalam operasi selama dua jam ini, ia disertai lebih 60 orang," katanya.



Credit: NURUL HUDA HUSAIN/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment