Thursday 18 July 2013

Guru mati ditembak

Lagi guru mati kena tembakMangsa rebah di tempat duduk penumpang hadapan selepas ditembak. - Foto Azhar Hashim
Suspek lepas 6 das tembakan ketika mangsa berhenti di lampu isyarat
Kulim: Seorang guru mati terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Keladi di sini, semalam.


Serangan berlaku jam 12.25 tengah hari, ketika guru sebuah sekolah rendah di Berapit, Bukit Mertajam, K Shanmugam, 45, yang memandu kereta jenis Toyota Wish dalam perjalanan ke sekolahnya atas urusan kerja. 



Ketika kereta mangsa berhenti di lampu isyarat, dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaannya sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu menembusi cermin keretanya.



Kejadian ketiga

Ini kejadian ketiga bulan ini guru menjadi sasaran penembak upahan. Pada 4 Julai lalu, seorang guru, Mat Zaki Hashim, 35, cedera di leher selepas ditembak di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, manakala pada 7 Julai, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, Hashim Mat Zin, 43, mati selepas terkena tiga das tembakan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata ketika kejadian, Shanmugam dikatakan baru keluar dari rumahnya di Taman Bidara di sini.

Katanya, siasatan awal menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha LC warna hitam melepaskan beberapa das tembakan selepas berhenti di sebelah kereta mangsa ketika lampu isyarat merah.



Kawasan kejadian sesak

“Ketika kejadian kawasan itu sesak kerana waktu puncak selain kedudukannya yang berhampiran simpang empat lampu isyarat Jalan Keladi. Mangsa ketika itu memandu sendirian dan berhenti kerana lampu isyarat merah.

“Sebaik terkena tembakan, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan diri melalui pintu penumpang, namun tidak berjaya lalu rebah dan tersembam pada tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika di temui di tempat kejadian di sini, semalam.

Mohd Nashir berkata, polis menemui beberapa butir kelongsong peluru di tempat kejadian, dan menyiasat motif pembunuhan.

Seorang saksi, Mat Ali saad, 63, berkata beliau mendengar bunyi letupan yang disangkanya bunyi mercun, namun tersedar ia bunyi tembakan apabila kereta mangsa melanggar keretanya.

“Ketika itu saya tidak sedar apa yang berlaku dan tiba-tiba sebuah motosikal berlalu melepasi kereta saya dan dalam masa sama bahagian belakang kereta saya dilanggar kereta mangsa.

“Saya keluar dari kenderaan dan terkejut melihat mangsa terkena tembakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment