Cedera diserang babi hutan
Saerah dibawa masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Jempol. Gambar kecil: Keadaan tangan Saerah yang sudah membengkak akibat gigitan babi hutan, petang kelmarin.
JEMPOL, NEGERI SEMBILAN - Penduduk di Kampung Bayai Lama, di sini gempar apabila seekor babi hutan mengamuk menyebabkan seorang warga emas cedera selepas tangan kirinya digigit haiwan itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Saerah Hassan, 82, berjalan seorang diri ke rumah jirannya kira-kira jam 4.30 petang sebelum secara tiba-tiba seekor babi betina seberat 70 kilogram meluru ke arahnya dan menggigit serta menyeretnya beberapa meter.

Seorang penduduk, Mastura Jamaludin, 39, berkata, warga emas itu cedera teruk di pergelangan tangan kirinya setelah diserang babi hutan berkenaan, malah bajunya turut terkoyak akibat digigit haiwan tersebut.

"Nenek itu tidak dapat melarikan diri atas faktor usianya dan mujur dia diselamatkan orang kampung yang melalui kawasan berkenaan.

"Tidak lama kemudian pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Seri Jempol datang memberi rawatan susulan ke Hospital Jempol sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, semalam," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Amin Mohd Joni, 39, berkata, dia terpaksa bertarung menyelamatkan diri hampir 30 minit apabila binatang itu bertindak mengejarnya.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar 10.50 pagi itu, dia baru sahaja pulang dari kebun getahnya kemudian berehat di sebatang pokok kundang sambil menunggu rakannya.

"Saya ternampak seekor babi sedang tidur berhampiran motosikal rakan.

”Tetapi secara tiba-tiba bangun lalu bertindak mahu menyondol menyebabkan saya terpaksa berpusing sekeliling motosikal sebanyak tujuh kali.

"Akibat ketakutan, saya mengambil keputusan memanjat pokok kundang bagi menyelamatkan diri," katanya yang merupakan mangsa pertama sebelum Saerah.

Penduduk, Norsilawati Hussin, 39, berkata, dia bimbang insiden tersebut berulang kembali kerana boleh mencederakan penduduk.

"Saya harap perkara ini dapat diatasi segera. Berikutan insiden ini, saya takut hendak keluar walaupun waktu siang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Bayai Lama, Ali Yusup berkata, pihaknya kini giat memburu babi hutan berkenaan.

"JKKK, anggota Rela dan Jabatan Perhilitan turut serta dalam operasi ini.

"Usaha mengesan babi hutan berkenaan turut mendapat kerjasama daripada pemburu babi yang diberi kebenaran untuk tujuan tersebut," katanya.

Credit: NORAFIDAH ASSAN