Friday 26 July 2013

Buat laporan polis atas talian mulai September

Seremban: Laporan polis secara atas talian (online) melalui portal laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu ke balai polis dijangka mula dilaksanakan akhir September ini.

Pengarah Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob, berkata ini diikuti pelaksanaan sistem semakan laporan polis secara online di seluruh negara menjelang akhir tahun.


Mudahkan orang ramai

Katanya, laporan polis secara atas talian akan memudahkan orang ramai membuat laporan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

“Sistem laporan polis secara online sedang dibangunkan dan ketika ini kita sedang meneliti pelbagai aspek, terutama dari segi perundangan. 

“Antara perkara itu ialah keperluan tandatangan kerana ketika ini setiap laporan polis perlu ditandatangani pengadu. Mungkin pada peringkat awal pelaksanaan, hanya kes tertentu seperti kemalangan jalan raya yang tidak memerlukan tandatangan boleh dilaporkan secara online,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan perniagaan Senawang dekat sini semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh. Bagaimanapun Ayub berkata, sistem laporan polis online diperkenalkan untuk menerima semua laporan.

Maklumat awal

Katanya, pengadu juga dalam sesetengah kes masih perlu datang ke balai polis untuk memberi keterangan lanjut dengan laporan secara online dianggap sebagai maklumat awal yang membolehkan polis mengambil tindakan segera.

Katanya, pengadu boleh membuat laporan polis secara online di mana-mana tempat di seluruh negara, tetapi tindakan susulan dilakukan oleh balai polis tempat kes berlaku. 

Sementara itu, katanya sistem semakan laporan polis secara online kini dilakukan secara projek perintis di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Ia membolehkan pengadu memeriksa kemajuan siasatan kes yang dijalankan. Dari segi penggunaan, pengadu akan diberi kata laluan yang membolehkan hanya dia mengetahui kes itu,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua sistem itu adalah antara usaha berterusan polis mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan serta seiring dengan tahap kesedaran dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tinggi di kalangan rakyat. 

No comments:

Post a Comment