Google+ Followers

Sunday, 14 July 2013

Mengumpat, buat maksiat hilang pahala puasa

Daripada Abu Hurairah, katanya Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga saja didapatinya.” (Riwayat al-Bukhari) 

Orang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar serta dahaga saja. 
Puasa yang paling bernilai di sisi Allah SWT ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat serta dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang berpuasa. 

Maka amat malang dan rugi bagi orang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan kotor memaki hamun. Ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah SWT bahkan mendapat dosa pula. 


Larangan bertengkar, maki hamun 
Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa hari ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Orang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah SWT. Jika mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang, maka hendaklah ia berkata aku berpuasa. 
Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat kepada Nabi. 

Rasulullah SAW bersabda: “Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibnu Majah) 

Setiap Muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah itu tidak menjadi perbuatan sia-sia. 


Kemanisan nikmat puasa 

Mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya dituntut agama, mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa, malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung. 

Ramadan adalah bulan awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melakukan amalan baik dan menjauhi sifat keji serta mungkar.