Sunday, 28 July 2013

Puasa Olga lebih bermakna

Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat Olga dan Shahabudeen dengan kehadiran Iskandar Vasilevskiy.

KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah ibu muda ini sejak kelahiran bayi sulungnya pada 23 Mei lalu.

Setelah menunggu hampir setahun, penantian bekas juara Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2007, Olga Vadimovna Vasilevskaya, 26, berakhir dengan kehadiran Iskandar Vasilevskiy.

Apa yang pasti kemeriahan Ramadan yang sedang dilalui dan Syawal yang bakal tiba pasti berganda bagi dia dan suami.

Melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan yang juga Pengarah Urusan Anzac Consultancy, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, 31, pada Mac tahun lalu selepas memeluk Islam, wanita warga Rusia ini memberitahu, walaupun tahun ini merupakan kali kedua dia berpuasa sebagai seorang Muslim, amalan berpuasa bukanlah sesuatu yang baru dalam hidupnya.

Bahkan dalam budaya masyarakat di tanah kelahirannya, juga ada amalan berpuasa bagi meraikan hari-hari tertentu.

Jadi katanya, apabila memeluk Islam kedatangan Ramadan tidak menjadi masalah buatnya kerana sudah biasa berpuasa.

"Setakat ini saya tidak menghadapi masalah untuk berpuasa kerana sudah biasa dengan keadaan ini (puasa) semasa tinggal di Rusia lagi.
"Tetapi saya begitu teruja untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tahun ini kami menyambutnya bertiga.

"Sudah lama saya nantikan saat ini. Yang pasti Ramadan dan Syawal yang bakal tiba nanti pastinya lebih gembira dan ceria buat kami sekeluarga," katanya dalam bahasa Melayu yang cukup teratur dan sempurna.

Ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor, baru-baru ini, Olga baru sahaja melepasi tempoh berpantang sejak dua minggu lalu.

Nyata dia begitu serasi dengan 'tugas' baru sebagai ibu dengan 
mengambil keputusan untuk menyusukan sendiri bayinya.

Tidak percaya pada konsep pembantu rumah, Olga lebih senang mendampingi putera sulungnya itu sepanjang masa apatah lagi Iskandar merupakan bayi yang baik dan tidak banyak ragam.

Berbicara mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Olga memberitahu dia seperti isteri-isteri yang lain akan menyediakan sendiri makanan untuk suami sama ada ketika berbuka ataupun bersahur.

Tetapi jelas Olga, setiap sajian yang dihidangkan pasti akan ada sambal belacan bagi memenuhi selera suaminya yang suka pedas sedangkan dia sendiri tidak tahan pedas.

Untuk berlaku adil, dia akan masak masakan yang tidak pedas tetapi pada masa sama menyediakan sambal belacan.

"Saya memang tidak makan makanan pedas, tapi tidak elok pula memaksa suami mengikut selera saya.

"Jadi setiap kali masak saya pastikan ada sambal belacan untuk suami. Saya rasa ini adil untuk kami menikmati hidangan yang sama tetapi dalam cita rasa yang berbeza," katanya sambil tersenyum manja.

Tidak ketinggalan mempelajari beberapa jenis masakan Melayu seperti ayam masak kicap serta kari, dia dilihat begitu bersungguh untuk menjadi seorang isteri yang baik.

Olga memberitahu, dia perlu tahu memasak masakan yang digemari suaminya kerana dia kini berkahwin dengan orang Islam.

Menyentuh mengenai persiapan Syawal, katanya, tumpuan mereka lebih kepada si kecil.

Sudah menjadi lumrah kepada setiap pasangan yang dikurniakan anak, tumpuan akan lebih terarah kepada anak.

Manakala untuk diri sendiri boleh dilakukan pada bila-bila masa dan secara sederhana.

Tidak mahu terlalu menunjukkan keterujaan, pasangan ini mengambil keputusan untuk membeli segala persiapan raya pada minggu ketiga berpuasa.

Apa pun dia dapat merasakan bahawa sambutan 1 Syawal tahun ini lebih meriah kerana meraikannya bersama-sama keluarga dan saudara-mara sebelah suami di Kuala Lumpur.

Untuk itu dia 'bercita-cita' membuat kuih raya sendiri, begitupun bergantung pada kelapangan masa memandangkan kini dia ada anak kecil.

Tidak ketinggalan akan menyediakan juadah istimewa di pagi raya untuk santapan ahli keluarga yang hadir, Olga ingin memberikan sesuatu kelainan kepada keluarga mertuanya.

"Tahun ini merupakan kali pertama merayakan Syawal di Malaysia kerana tahun lepas kami sambut di rumah ibu bapa saya di Moscow.

"Jadi sudah pasti kami akan memberikan yang istimewa buat keluarga di sini. Lagi pun, rumah kami bakal jadi tumpuan kerana ramai lagi saudara mara dan rakan-rakan yang belum bertemu Iskandar," tambahnya sambil mengusap pipi bayi comelnya itu.

Shahabudeen pula memberitahu, dirinya kini lengkap sebagai seorang suami dan bapa.

Sememangnya teruja dengan kehadiran anak sulungnya itu, Shahabudeen menjelaskan bahawa sambutan Ramadan kali ini terasa lebih bermakna.

Tidak begitu mendesak isteri untuk begitu sempurna dalam menyediakan segala kelengkapan, Shahabudeen turut menjelaskan setakat ini puasanya juga berjalan lancar seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Alhamdulillah walaupun saya cerewet dalam bab makan tetapi Olga tahu apa yang perlu dibuat.

"Tambahan pula tahun ini kami menyambut Ramadan secara bertiga dan di Malaysia. Jadi, untuk berbuka saya akan menjamah sedikit kuih yang dibeli di pasar Ramadan dan malam sikit baru makan nasi.

"Bersahur pula sudah pasti saya dan Olga akan makan nasi. Tetapi setiap hari saya disajikan dengan menu yang berbeza," ujarnya.

Yang pasti, selepas seminggu menyambut Syawal di Kuala Lumpur, Olga dan Shahabudeen akan berlepas ke Rusia untuk mengunjungi ibu bapa Olga di sana.

Pada masa yang sama membawa pulang Iskandar untuk berjumpa dengan sanak saudara di Rusia buat pertama kali.

Dalam pada itu, kesibukan meladeni suami dan anak tidak menghalang Olga memenuhi impian untuk memiliki kerjaya sendiri.

Sebagai langkah awal baru-baru ini dia melancarkan jomkerusia.com, blog yang menawarkan pakej pelancongan bagi rakyat negara ini yang berminat melancong ke Rusia.

Pakej tersebut meliputi pelancongan pada musim sejuk. Bagi yang berminat boleh mengunjungi blog tersebut untuk maklumat lanjut.


Credit: MARIATUL QATIAH ZAKARIA

No comments:

Post a Comment