Thursday 18 July 2013

Mangsa Hiroshima rakyat Malaysia meninggal dunia



KUALA LUMPUR 18 Julai - Rakyat Malaysia yang terselamat dalam tragedi serangan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 1945, Datuk Abdul Razak Abdul Hamid meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berusia 88 tahun.

Menurut Dzulkifli, 60, Allahyarham tinggal bersama keluarganya di Taman Kamariah, Jalan Gombak dan dimasukkan ke HKL selepas mengadu sakit dada pagi ini.

"Arwah kemudian dimasukkan ke Unit Kecemasan petang ini sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga kira-kira pukul 5.45 petang," katanya ketika dihubungi malam ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 7 Julai 1925 di Pulau Pinang merupakan salah seorang daripada tiga rakyat Tanah Melayu yang dipilih melanjutkan pelajaran di Universiti Hiroshima, Jepun untuk mempelajari bahasa Jepun

Allahyarham merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang terselamat dalam tragedi itu walaupun dihempap runtuhan bangunan universiti dalam tragedi bom atom pada 6 Ogos 1945 yang meragut hampir setengah juta nyawa.

Beliau tidak sedarkan diri selepas pengeboman itu dan sebaik sahaja sedar, Allahyarham terpaksa merangkak dari celah runtuhan bangunan untuk menyelamatkan diri sambil menyaksikan ribuan mayat bergelimpangan termasuk rakannya, Allahyarham Nik Yusof.

Pengalaman yang dilalui oleh Allahyarham itu pernah dipentaskan dalam teater bertajuk "Hiroshima" pada tahun 2008 anjuran bersama USM dan Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Utara.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Zuraidah, 63; Dzulkifli dan Dr. Dzuljastri, 54, serta sembilan orang cucu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota Gombak, selepas solat zuhur esok.



Credit: 
NORAZRIN MARZUK

No comments:

Post a Comment