Friday 26 July 2013

Wanita warga Indonesia mati ditikam suami

Wanita warga Indonesia mati ditikam suamiShaharon Anuar menunjukkan lokasi kejadian tempat mangsa dibunuh di Batu Gajah, semalam.
Batu Gajah: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati berlumuran darah dipercayai dibunuh dengan kejam oleh suaminya sendiri, seorang warga Myanmar di sebuah rumah kedai di Batu Gajah, di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Than Dhar, 25, ditemui terlentang dengan mulut berbuih di dalam biliknya selepas ditikam dipercayai akibat cemburu.


Suami wanita itu mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan seorang daripada tiga lagi suspek warga Myanmar yang turut tinggal di rumah kedai berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata anggotanya ke rumah berkenaan selepas menerima laporan kejadian terbabit daripada orang awam pada jam 11 malam. 

Terlentang dalam bilik 

“Setiba di tempat kejadian, kami dapati mangsa yang berlumuran darah mati terlentang di dalam biliknya. 

“Kami kemudian menemui sebilah pisau pemotong daging di belakang badan mangsa dipercayai digunakan untuk menikamnya. 

Tembus paru-paru 

“Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, menunjukkan mangsa mati akibat ditikam pada belakang badan sehingga menembusi paru-parunya. 




“Hasil siasatan lanjut, kami menahan suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an termasuk suami mangsa di tiga lokasi berasingan di sekitar kawasan pekan Batu Gajah pada jam 4.30 pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. 

Suspek pelarian UNHCR 

Shaharon Anuar berkata, semua suspek berstatus pelarian yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Saya tidak menolak kejadian bunuh ini berpunca daripada masalah cemburu atau mempunyai hubungan sulit dengan penyewa kerana mangsa turut tinggal bersama lelaki lain yang juga mendiami rumah berkenaan,” katanya. 


Credit: Mohd Hanafis Abdil Haris

No comments:

Post a Comment