Friday 19 July 2013

Langgar polis trafik, seorang pelajar ditahan


Photo: PEGAWAI TRAFIK KEMALANGAN TERIMA LAWATAN KP KELANTAN

Insp Farid Hasni Mamat, pegawai trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah yang cedera parah akibat kemalangan sehingga kehilangan kaki kanan sewaktu bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima lawatan kebajikan daripada Ketua Polis Kelantan, SAC Dato' Jalaluddin Abdul Rahman hari ini. Pegawai berkenaan kini dalam keadaan stabil setelah mendapat rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Surgeri, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bermula semalam.
KOTA BHARU - Seorang pelajar berusia 19 tahun yang dipercayai terbabit melanggar seorang pegawai polis trafik di Kuala Besut, Terengganu Rabu lalu, ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak polis masih menyiasat kes tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau melawat Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini hari ini.

Pegawai tersebut sedang menerima rawatan akibat kaki kanannya terputus dalam kemalangan itu.

Keadaannya dilaporkan semakin baik dan dijangka pulih dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya lihat keadaan serta emosi beliau agak stabil dan menerima dengan tabah apa yang berlaku," kata Jamshah kepada pemberita.

Farid Hasni dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, ditugaskan berkhidmat untuk pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi, menyebabkan beliau terhumban kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye yang turut melawat Farid Hasni berkata pihaknya akan membantu kebajikan keluarganya.

"Saya berjanji akan bantu mendapatkan sumbangan kaki palsu untuk beliau di samping berusaha menukar beliau ke Terengganu supaya lebih dekat dengan keluarganya," jelasnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment